Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, October 25, 2012

VIDEO.!!! Noh Omar minta MB Selangor perjelas dakwaan jual aset PKNS

KUALA LUMPUR 24 Okt. - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicabar tampil memberi penjelasan penuh berhubung dakwaan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meluluskan penjualan lima aset milik anak syarikat kerajaan negeri itu berjumlah RM321 juta.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, lima aset itu ialah Menara PKNS Petaling Jaya dengan harga RM90 juta; Pusat Konvensyen Shah Alam (RM97 juta); Kompleks PKNS Shah Alam (RM85 juta); Kompleks PKNS Bangi (RM42 juta) dan Wisma Yakin (RM7 juta).

"Saya tidak mahu tuduh, sebab itu saya mahu Menteri Besar tampil memberikan penjelasan, esok atau lusa. Bagaimanapun, saya ingin memaklumkan terlebih dahulu kepada Menteri Besar bahawa saya mempunyai bukti terhadap dakwaan tersebut, sebab itu saya berani membangkitkan perkara ini.

"Saya difahamkan proses penjualan belum dimuktamadkan kerana surat perjanjian masih belum ditandatangani tetapi berada pada peringkat akhir kerana secara asasnya Lembaga Pengarah PKNS telah bersetuju untuk menjualnya.

"Sekarang terpulang kepada Menteri Besar, kalau beliau kata 'ya', maka aset-aset tersebut akan dijual, begitu juga sebaliknya," katanya pada sidang akhbar di lobi parlimen hari ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, cabaran ini merupakan yang ketiga kepada Abdul Khalid selepas dua cabaran terdahulu ditolak oleh Menteri Besar itu.

"Kali pertama saya cabar beliau berhubung isu Yayasan Selangor dan kedua pula berkaitan Universiti Selangor (Unisel). Ini merupakan cabaran ketiga dan saya sangat menuntut penjelasan daripada Menteri Besar memandangkan sebelum ini beliau sering mengatakan PKNS kaya, banyak duit, jadi mengapa harus menjual aset-aset tersebut?

"Inikah Menteri Besar yang disifatkan cemerlang oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim? Mungkin Abdul Khalid cemerlang dalam perkara tertentu seperti menghabiskan harta kerajaan negeri dan tidak melaksanakan janji-janji pada pilihan raya umum lalu," jelasnya.

Mengulas mengenai pentadbiran kerajaan negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disifatkannya gagal, Noh memberitahu, pegawai serta kakitangan kerajaan negeri telah mula sedar dan tidak lagi gembira dengan pemerintahan sedia ada.

Katanya, golongan berkenaan sudah boleh membezakan pentadbiran mana yang lebih telus di antara BN dan PKR.

"Ramai yang jumpa saya, kakitangan kerajaan negeri, pegawai, penguat kuasa, malah pemandu juga ada menyuarakan keluhan mereka terhadap pemerintahan PKR di Selangor. Mereka sudah boleh membezakan apabila pegawai penguat kuasa dikerah menjaga ceramah-ceramah politik, yang tidak sepatutnya dilakukan.

"Berdasarkan maklum balas serta sokongan ini, saya yakin pada pilihan raya umum akan datang, BN mampu menawan semula Selangor," ujarnya.

No comments: