Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, October 31, 2012

Noh cabar MB Khalid dedahkan butiran terperinci pindah aset PKNS

KUALA SELANGOR - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diingatkan supaya tidak membuat kenyataan mengelirukan berhubung status pemilihan lima aset Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjumlah RM321 juta.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Noh Omar mencabar Abdul Khalid supaya mengemukakan butiran terperinci tentang rancangan PKNS memindahkan aset-aset tersebut kepada sebuah anak syarikat baharu yang ditubuhkan di bawah perbadanan itu.

Beliau berkata, sekiranya lima aset tersebut diserahkan oleh PKNS kepada anak syarikat berkenaan, Abdul Khalid perlu menjelaskan sama ada perkara itu melibatkan penjualan ataupun ditukar hak milik sahaja tanpa melibatkan apa-apa bayaran.

"Malangnya, sehingga hari ini Menteri Besar (Abdul Khalid) tidak menyatakan apa-apa tentang pemindahan lima aset tersebut. Maka, kita cabar beliau nyatakan apakah bentuk pemindahan aset-aset itu kepada anak syarikat terbabit, Jika PKNS menjual aset-aset itu, berapa yang perlu dibayar oleh anak syarikat tersebut kepada perbadanan dan dari mana sumber kewangannya?

"Jika anak syarikat itu memperoleh sumber kewangan menerusi pinjaman bank, berapa pula kadar faedah yang perlu dibayar oleh anak syarikat tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wakil media selepas menyampaikan elaun sara hidup kepada lebih 1000 nelayan di kawasan Parlimen Tanjong Karang dan Kuala Selangor di sini, semalam.

No comments: