Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, October 15, 2012

JANJI DITEPATI - 170,000 pesawah layak tuntut ganti rugi

KANGAR - Sebanyak 172,000 pesawah di seluruh negara layak diberi perlindungan insurans di bawah Skim Perlindungan Takaful Padi untuk membolehkan mereka menerima bayaran ganti rugi jika sawah padi mereka ditimpa bencana, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata kerajaan akan memperuntuk wang sebanyak RM50 juta sebagai premium perlindungan insurans khusus kepada pengusaha sawah tidak melebihi 10 hektar, dengan masing-masing layak menerima pampasan sebanyak RM13,000 jika padi mereka ditenggelami banjir, kerosakan akibat penyakit padi atau serangan pelbagai musuh padi.

Noh berkata demikian semasa berucap pada majlis Penyampaian Bantuan Kawalan Padi Angin Musim 2/2011 berjumlah RM4 juta membabitkan 6,663 pesawah seluruh Perlis di Kompleks Warisan hari ini.

Setiap petani menerima baucer bernilai RM840 untuk ditukar dengan benih padi dan baja bagi musim penanaman padi akan datang sehingga Mei 2013.

Pemberian bantuan itu adalah bagi menepati janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melawat Perlis awal tahun ini bagi meringankan beban petani terbabit selepas sawah mereka diancam padi angin.

Padi angin adalah istilah untuk pokok padi yang buahnya mudah gugur apabila ditiup angin, yang menyebabkan hasil pesawah terjejas teruk.

Noh berkata ancaman padi angin di Perlis tahun lepas mengakibatkan negara kehilangan hasil sebanyak 9,501 tan metrik bernilai lebih RM9.9 juta.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini mengkaji kemungkinan menggalakkan pesawah menanam padi jenis 'clearfield' atau padi kebal yang dibangunkan Mardi kerana dikatakan mampu mengurangkan masalah padi angin.

Mengulas isu tanah sawah jerlus, Noh berkata kementerian juga memberi perhatian serius terhadap masalah itu dan mungkin meminta petani berehat setahun dua daripada mengerjakan sawah bagi membolehkan ia kembali keras.

Beliau memberi jaminan petani terbabit akan diberi bantuan sebanyak RM3,000 sehektar sepanjang tempoh itu.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

No comments: