Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, October 30, 2012

ISU PKNS - MB Khalid perlu buat kenyataan rasmi

TANJONG KARANG, 28 Okt - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim digesa membuat kenyataan rasmi berhubung dakwaan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meluluskan penjualan lima aset milik anak syarikat kerajaan negeri itu yang berjumlah RM321 juta.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, hanya pengakuan atau penafian rasmi daripada Menteri Besar mengenai perkara itu ditunggu oleh seluruh rakyat Selangor.

Beliau berkata, kenyataan konkrit daripada Abdul Khalid yang mewakili kerajaan negeri amat penting kerana ia mampu menjelaskan semua kontroversi yang melanda negeri Selangor ketika ini.

"Saya bukannya mahu tuduh, sebab itu saya mahu Menteri Besar tampil memberikan penjelasan... Saya nak maklumkan saya mempunyai bukti terhadap dakwaan tersebut, sebab itu saya berani membangkitkan perkara ini.

"Sekarang ini saya mengambil pendekatan tunggu dan lihat apa reaksi Menteri Besar... Sebaik sahaja beliau membuat kenyataan rasmi, saya akan memberikan komen... Namun apa yang diperhatikan Menteri Besar seolah-olah takut untuk berdepan dengan rakyat," katanya kepada wakil media di sini hari ini.

Terdahulu Noh menghadiri majlis Korban Perdana Parlimen Tanjung Karang yang diadakan berhampiran Padang Astaka, Tanjung Karang di sini.

Pada majlis tersebut sebanyak 30 ekor lembu dikorbankan bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Mengulas isu yang sama, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, Menteri Besar perlu memberi kata putus mengenai perkara tersebut memandangkan ia akan menentukan nasib para usahawan dan peniaga-peniaga Melayu di Selangor.

"Jika pertukaran pengurusan berlaku, ia sememangnya akan menyulitkan para peniaga yang beroperasi di sana terutamanya mengenai sewa premis dan juga krisis pengurusan pada masa depan," katanya.

Selain itu katanya, sebagai Menteri Besar cemerlang seperti mana yang dicanang-canangkan oleh pakatan pembangkang, Abdul Khalid perlu berani untuk berdepan situasi ini, selain menjawab mengenai isu Yayasan Selangor dan Universiti Selangor (Unisel).

"Kali pertama saya cabar beliau berhubung isu Yayasan Selangor dan kedua pula berkaitan Unisel.

"ini merupakan cabaran ketiga dan saya sangat menuntut penjelasan daripada Abdul Khalid memandangkan sebelum ini beliau sering mengatakan PKNS aset penting," katanya.

No comments: