Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, October 9, 2012

Datuk Mohd Shamsudin Lias Lawat Rumah Mangsa Dalam Kejadian Angin Lintang Di Parit 2 Sungai Burong, Tanjong Karang.

TANJONG KARANG - “Saya terkejut dengar bunyi kuat umpama bom meletup sejurus sebelum keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin,” kata mangsa ribut, Aini Hamzah, 64, dari Ban 1, Jalan Tali Air 2, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi kelmarin itu, beliau yang juga Timbalan Nazir Masjid As Solihin berkata, kejadian angin lintang berlaku sekelip mata menerbangkan 80 peratus bumbung rumahnya yang dibina 16 tahun lalu.

"Ketika kejadian keadaan mencemaskan sehingga saya terpaksa mengejutkan isteri (Siti Husnah Utoh, 56) dan anak perempuan (Noor Azwa Aini, 40) daripada tidur untuk menyelamatkan diri.

"Saya juga melaungkan azan selepas melihat beberapa siling rumah runtuh," katanya ketika kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias dan Pegawai Khasnya, Maruwan Ahmad.

Difahamkan, turut menjadi mangsa dalam kejadian angin lintang itu, dua lagi rumah di Blok B Sawah Sempadan dan Sungai Burong.

Menurutnya Aini, keadaan mulai reda kira-kira jam 3 pagi dan lampu masih terpasang biarpun ribut sudah menerbangkan bumbung rumah.

"Saya kemudiaannya menutup bekalan elektrik bagi mengelakkan risiko litar pintas sebelum ke rumah saudara bersebelahan sementara menunggu siang.

"Ini kejadian pertama saya berdepan dengan angin lintang dan terpaksa menanggung kerosakan bumbung sekitar RM20,000 selain kerosakan peralatan elektrik, pakaian, buku dan perabot," katanya yang turut membuat laporan berhubung bencana itu di Balai Polis Tanjong Karang.

Dalam pada itu, Maruwan berkata, pihaknya akan meneliti kerosakan dan nilai kerugian ditanggung sebelum bantuan peralatan seperti bumbung, papan dan siling rumah diberikan.

"Seperti kelaziman bantuan mangsa ribut, sumbangan peralatan dan upah bernilai RM5,000.

"Sekiranya kerosakan melebihi jumlah itu, kita minta budi bicara pemilik rumah menampungnya," katanya.

No comments: