Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 13, 2012

Sertai tanam padi baru MRQ76 - NOH OMAR

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Syarikat-syarikat swasta diseru melibatkan diri menanam varieti padi wangi baru, MRQ76 yang dihasilkan melalui penyelidikan hampir sedekad oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di luar kawasan jelapang padi negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, penanaman di luar kawasan jelapang padi dapat membantu menambah pengeluaran hasil padi negara dan memastikan tanah terbiar dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan menghasilkan kualiti padi tinggi.

"Padi wangi ini merupakan hasil penyelidikan ketiga selepas MRQ50 dan MRQ74 yang mempunyai ciri-ciri yang lebih baik lagi.

"Beras wangi ini mengeluarkan bauan wangi seperti pandan yang semula jadi apabila dimasak, sedikit melekit, lembut dan rasa yang cukup baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengisytiharkan Varieti Padi Wangi Baru MRQ76 di Laman Padi, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mohd. Hashim Abdullah dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman.

Dua syarikat tempatan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MARDI iaitu Paddytech Resources Sdn. Bhd. dan Bionic Agro Sdn. Bhd. yang akan mengkomersialkan varieti padi itu di bawah Projek Permulaan (EPP) 9.

Tambahnya, beras itu juga sesuai dimakan oleh penghidap diabetis kerana kadar glukos yang rendah.

"Penanaman varieti padi wangi ini dapat mengurangkan import padi negara yang pada masa ini sebanyak 30 peratus. 25 peratus daripada jumlah itu adalah padi wangi.

"Pada tahun ini sebanyak 80 hektar kawasan penanaman padi ini akan diusahakan oleh syarikat tempatan itu dan akan terus dikembangkan lebih 120 hektar dan tahun depan sekurangnya 500 hektar. Menjelang 2020, kita menyasarkan sebanyak 18,200 hektar kawasan padi di negara," jelasnya.

Sementara itu, Noh berkata, sebuah jawatankuasa integrasi akan ditubuhkan yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian yang melibatkan beberapa agensi seperti Mardi yang melakukan penyelidikan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang mewakli petani.

"Jawatankuasa ini ditubuhkan agar memastikan rantaian nilai dapat diteruskan daripada penghasilan varieti padi baru yang lebih baik yang memerlukan sistem pengairan air yang berkesan dan pengusahanya iaitu petani," katanya.

No comments: