Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, August 28, 2012

Rakyat S'gor berhak dapat tunggakan air percuma - Noh Omar

SHAH ALAM, 28 OGOS - Kerajaan Selangor perlu membayar tunggakan kepada rakyatnya yang menggunakan meter pukal serta tidak menikmati subsidi air percuma 20 meter padu pertama, sejak 2008.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kebanyakan mereka yang menggunakan meter pukal merupakan rakyat miskin dan tuntutan mereka itu munasabah.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, kerajaan Selangor yang sering menekankan soal keadilan dan kebajikan perlu membayar tunggakan tersebut kerana itu janji Pakatan Rakyat kepada setiap rakyat di negeri itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu tuntutan badan bukan kerajaan (NGO) Selangor supaya kerajaan negeri membayar tunggakan nilai subsidi air yang tidak dinikmati sebahagian besar penduduk yang menggunakan meter pukal.

"Orang rumah besar, banglo dapat. Orang duduk flat kongsi meter tak layak. Janji pada setiap rakyat bukan setiap meter," katanya.

Ahad lalu, sekumpulan penduduk di Pangsapuri Mentari Court telah mengadakan satu demonstrasi secara aman sebagai manifestasi rasa tidak puas hati terhadap sikap tidak prihatin Kerajaan Selangor dalam pelaksanaan pemberian air percuma.

Demonstrasi itu dibuat selepas empat tahun kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor.

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) didakwa gagal menepati janji untuk memberikan air percuma kepada penduduk yang menggunakan meter pukal seperti flat kos rendah dan pangsapuri.

Selain itu, mereka turut mendesak Kerajaan Negeri membayar tunggakan untuk tempoh 50 bulan sejak Ogos 2008 sehingga September 2012 sebanyak RM570 dalam tempoh seminggu.

Pengerusi Jawatankuasa Bersama (JMB), Kamarul Azman Kamarudin berkata, pada pilihan raya umum yang lalu, pakatan pembangkang yang diwakili PKR, Pas dan DAP melalui slogan Negeri Berkebajikan’ telah berjanji memberi air percuma kepada rakyat sekiranya berjaya memegang tampuk pemerintahan negeri. - Antarapos

No comments: