Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, August 7, 2012

Pelajar UNISEL timbang adakan demonstrasi

Pelajar Universiti Industri Selangor yang masih lagi tidak mendapat kemudahan di kampus induk Bestari Jaya menimbang untuk mengadakan demonstrasi.

Mereka menzahirkan rasa kecewa ekoran kegagalan pentadbiran UNISEL di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang sebelum ini dilihat gah menguwar-uwarkan memperjuangkan nasib mahasiswa di negara ini.

Perkara itu diluahkan pelajar terbabit kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam, Wan Ahmad Hazman Wan Daud.

Luahan mereka turut disuarakan dalam laman sosial Facebook dan Twitter berikutan jawatankuasa MPP UNISEL tidak mempedulikan mereka, sebaliknya berdiam diri bagi menjaga kepentingan universiti.

Dianggarkan lebih 1,000 pelajar baru dan lama tidak mendapat kemudahan asrama dalam kampus sebaliknya ada ditempatkan di asrama tumpangan sementara yang agak jauh sekitar Ijok.

Keadaan itu membebankan pelajar terutama yang tidak mempunyai pengangkutan selain menganiaya mereka yang sudah membuat pembayaran pendahuluan sebelum ini.

Wan Ahmad Hazman berkata, apa yang berlaku itu membuktikan kerajaan negeri pimpinan pembangkang mementingkan agenda politik melebihi kebajikan pelajar.

Malah katanya, mahasiswa semakin sedar kerajaan negeri pakatan pembangkang tidak dapat memenuhi harapan mereka khususnya dalam aspek pendidikan.

Sementara itu, pelajar Tahun Dua Diploma Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua universiti itu, Nazmin Abdul Ghafar berkata MPP universiti itu yang pro mahasiswa tidak membantu menyelesaikan masalah mereka, sebaliknya didakwa bersekongkol dengan pentadbiran universiti dan kerajaan negeri.

LAGI BERITA BERKAITAN
[Pelajar Unisel dihalang masuk kolej kediaman]

No comments: