Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, August 7, 2012

Noh Persoal Tindakan MB Arah Unisel Beli Bangunan PKNS Jutaan Ringgit

TANJONG KARANG, 6 OGOS - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menjelaskan tindakannya mengarahkan Universiti Selangor (Unisel) membeli bangunan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kota Puteri, Kuala Selangor untuk dijadikan asrama baru sedangkan beliau mendakwa universiti itu menanggung hutang sejak sekian lama.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar juga mempersoal tindakan Abdul Khalid membeli bangunan berharga jutaan ringgit itu sedangkan asrama Unisel sedia ada mempunyai banyak kekosongan ekoran jumlah penuntut yang semakin kurang.

"MB kena jawab, saya nak tanya pengurusan Unisel... apa rasionalnya dia beli bangunan di Kota Puteri, yang juga dikatakan akan dibuat asrama... asrama yang ada pun tidak penuh, macam mana dia boleh beli bangunan baru.

"Ini menunjukkan bahawa pengurusan dan pentadbiran Unisel di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang tidak profesional," katanya kepada pemberita di sini.

Noh mengulas kenyataan Abdul Khalid yang mengakui Unisel menanggung hutang sejak sekian lama sehingga menjejas kemampuan universiti itu untuk membayar tunggakan kos penyelenggaraan dan operasi asrama berjumlah hampir RM15 juta kepada syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB). Beliau berkata pada zaman pentadbiran BN, Unisel tidak berdepan masalah kewangan, tetapi apabila pembangkang mengambil alih pentadbiran Selangor, perkara itu berlaku.

Katanya, Abdul Khalid sebagai tokoh korporat sepatutnya boleh menjaga pentadbiran dan pengurusan Unisel, yang merupakan institusi pendidikan swasta, dengan baik kerana beliau berpengalaman dalam soal itu.

Mengulas lanjut, Noh berkata masalah kewangan Unisel tidak sepatutnya berlaku kerana universiti itu boleh membayar sewa bangunan melalui sumber yang diperoleh daripada bayaran yuran dan sewa asrama oleh penuntutnya.

"Bila pelajar dapat duit pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), secara automatik duit itu telah dipotong bagi tujuan membayar sewa asrama dan yuran, sebelum baki pinjaman diserah kepada pelajar... jadi, kita nak tanya MB, mana perginya duit yang telah dibayar pelajar itu," katanya.

Mengulas kenyataan Abdul Khalid berhubung kelewatan pendedahan laporan audit kewangan Unisel kerana banyak perkara perlu diperbetul oleh kerajaan negeri, Noh berkata beliau mempunyai bukti Abdul Khalid dan pegawai kewangan Selangor telah menandatangani laporan itu.
Beliau turut mendesak isu Unisel dibawa ke Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat). - BERNAMA

No comments: