Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, August 7, 2012

KONTROVERSI UNISEL - Tiada masalah pembayaran sebelum 2008

SHAH ALAM - Ketua Bahagian Residen Komuniti Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), Noor Ashikeen Mohd Stap memberitahu masalah pembayaran kos penyelenggaraan asrama Universiti Industri Selangor bermula sejak pentadbiran Selangor bertukar tangan.

Noor berkata sebelum 2008, syarikatnya tidak menghadapi masalah membabitkan pembayaran kerja penyelenggaraan dan pengurusan asrama di kampus induk UNISEL di Bestari Jaya.

Katanya JNSB yang mendapat kontrak membina 44 blok asrama di UNISEL, dianugerahkan konsesi selama 20 tahun sebelum menyerahkan semula bangunan diselenggarakan itu kepada pengurusan UNISEL selepas konsesi tamat.

Beliau berkata, 44 blok asrama berkenaan sepatutnya boleh menempatkan seramai 5,000 pelajar dan pembayaran yang perlu dibayar UNISEL kepada JNSB ialah sebanyak RM180 setiap pelajar.

"Sebelum ini memang ada beberapa kali pengurusan UNISEL lewat membayar perkhidmatan diberikan JNSB tetapi kelewatan itu hanya sebulan dua.

"Bagaimanapun sejak 17 bulan lalu, pengurusan UNISEL gagal membayar kerja penyelenggaraan seperti landskap dan pembersihan kepada kami manakala kerja penyelenggaraan asrama pula sudah lapan bulan tidak dibayar," katanya kepada Berita Harian.

Kelewatan pembayaran bagi perkhidmatan itu juga menyebabkan kontraktor yang diupah untuk membersih dan menyelenggarakan landskap turut tidak mendapat bayaran masing-masing.

Noor berkata, JNSB sudah menghantar "berpuluh surat" kepada pengurusan UNISEL dan kepada Pejabat Menteri Besar bagi membincangkan masalah pembayaran yang tidak diterima itu, tetapi sehingga masalah berkenaan dilaporkan media massa, tiada sebarang perbincangan diadakan.

Katanya JNSB juga tidak diberikan sebarang alasan mengapa pembayaran berkenaan tidak dilunaskan, sebaliknya mereka hanya mendengar khabar angin bahawa pengurusan UNISEL tidak berpuas hati dengan terma kontrak yang dianggap tidak menyebelahi UNISEL.

"Pembinaan asrama dibuat oleh JNSB dengan menggunakan wang yang diperoleh melalui pinjaman bank.

"Pada masa sama, kami juga bersedia berbincang dengan pengurusan UNISEL untuk mengetahui apa menyebabkan UNISEL tidak berpuas hati dengan kami.

"Walaupun UNISEL dikatakan tidak berpuas hati dengan terma kontrak, mereka masih lagi meminta kami menjalankan kerja penyelenggaraan termasuk benda bukan dalam bidang kuasa atau termaktub dalam perjanjian," katanya.

Noor berkata, bagi membolehkan pembayaran terhadap perkhidmatan diberikan JNSB kepada UNISEL, dilunaskan, syarikat itu turut bersedia menerima pembayaran berdasarkan kepada bilangan pelajar yang menginap dalam kampus berkenaan, berikutan pengurusan UNISEL memberi alasan jumlah pelajar yang menetap dalam asrama tidak mencecah 5,000 orang.

No comments: