Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, August 14, 2012

Konsep pengurusan padi diperluas - Noh Omar

TANJONG KARANG - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merancang untuk memperluas konsep pengurusan padi secara ladang atau berpusat kepada semua pesawah di Selangor secara berperingkat, bermula November ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata melalui konsep itu, Pertubuhan Peladang Kawasan atau koperasi peladang akan menguruskan sawah, dan pemilik atau pengusaha akan mendapat bayaran awal RM2,000 bagi setiap hektar.

"Pada masa ini, pesawah uruskan sawah mereka secara individu, dan pendapatan mereka terhad... ada pesawah yang hanya mendapat kurang lima tan sehektar padi semusim.

"Jadi, kita buat pendekatan baru... kita urus sawah, tetapi segala hasil tani mereka kita akan pastikan tidak akan kurang, dan mereka dapat keuntungan lebih daripada yang mereka peroleh sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas penyerahan Insentif Peningkatan Hasil Padi Kawasan Sungai Burong semalam.

Beliau berkata melalui konsep ini, pengeluaran padi boleh dipertingkat pada tahap maksimum sehingga 10 tan sehektar bagi setiap pesawah.

"Pada ketika ini, negara kurang pengusaha sawah ekoran anak muda tidak lagi berminat untuk mengusahakan sawah yang ada... atas sebab itu, hasil beras kurang dan negara tidak mampu untuk menampung keperluan beras kepada negara sehingga terpaksa mengimport 30 peratus beras dari negara luar," katanya.

Noh berkata kementerian berhasrat meningkatkan pendapatan pesawah demi mencapai 80 peratus pengeluaran padi dalam negara menjelang 2020.

Beliau berkata sehingga kini, seramai 300 pesawah terlibat dalam konsep itu, yang membabitkan 370 hektar tanah di tiga kawasan iaitu Sungai Besar, Sungai Nibong dan Sawah Sempadan.

Selain itu, pelbagai bantuan disediakan bagi membantu pesawah termasuk menyediakan input pertanian seperti racun dan baja bagi meningkatkan pengeluaran padi.

"Pesawah yang mengalami kekangan kewangan boleh mendapatkan pembiayaan melalui Agrobank, dan kerajaan telah menyediakan semua kemudahan bagi membantu kumpulan pesawah," katanya.

No comments: