Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, August 27, 2012

Kerajaan negeri Pakatan Khalid ‘ibarat tikus membaiki labu’ dan hanya merugikan rakyat - Noh Omar

TANJUNG KARANG, 25 OGOS - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Noh Omar hari ini mempertikaikan pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang dilihat tidak membuat sebarang usaha yang memanfaatkan kebajikan rakyat di negeri itu.

Menurut beliau, dalam apa jua isu sekalipun yang timbul di Selangor, jelas sumbangan dan pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai Parti Keadilan Rakyat ini sentiasa mengundang perasaan tidak puas hati rakyat.

“Dalam isu apa jua sekalipun, sumbangan dan pentadbiran kerajaan PKR memang sentiasa dalam keadaan yang tidak mendapat sokongan dan juga tidak puas hati rakyat.

“Contohnya pendidikan, apa sumbangan PKR dalam membangunkan pendidikan di Selangor? Dulu kita (BN) tubuh Yayasan Selangor, sekarang ia tak seperti dulu. Pinjaman juga sudah tiada. Dulu kita bagi. Ini lari daripada matlamat yayasan. Kita tubuh Unisel, kita lihat sekarang Unisel terus bermasalah,” tegas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.

Menurutnya lagi, sehingga kini beliau masih lagi menunggu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunaikan janjinya untuk mendedahkan maklumat akaun Unisel.

Khalid sebelum ini berjanji untuk mendedahkannya pada bulan Ogos.

“Unisel contohnya, pendapatan sewaktu mereka memerintah kos pengurusan cukup banyak, pendapatan kurang, itu sebab Unisel bermasalah. Kemudian sudahlah yayasan dia tak pandai urus, Unisel kelam kabut, UiTM cawangan Selangor yang mahu dibuat di Serendah juga ditolak.

“Jadi apa sumbangan kerajaan PKR dalam pendidikan untuk memajukan anak Selangor?” soal beliau.

Situasi yang menyelebungi kerajaan negeri Selangor ketika ini disifatkan Noh ‘ibarat tikus membaiki labu’ dan hanya merugikan rakyat di negeri itu.

“Jadi mereka ini ibarat tikus membaiki labu. Kita sudah bagi, dia ubah sana-sini yang akhirnya merosakkan.

“Kesannya kita lihat menyebabkan apa yang BN buat dahulu tiada kesinambungan dan merugikan rakyat Selangor,” ujar beliau. - Antarapos

No comments: