Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, August 8, 2012

Kecacatan rekod korporat Khalid makin terserlah

Oleh : Zeanaaima Yusof
ULASAN - Prestasi kewangan Unisel, kutipan hutang Talam dan krisis air di Selangor adalah tiga isu utama yang menempelak usaha Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencanang diri sebagai pakar ekonomi berasaskan kedudukannya sebagai bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad.

PKR juga sering merujuk “rekod” Khalid di PNB untuk “menjual” beliau sebagai Menteri Besar yang serba lengkap bagi menguruskan negeri termaju di Malaysia.

Kerugian yang dialami oleh kerajaan negeri dalam proses penyusunan hutang Talam serta beban kewangan Unisel sejak Selangor jatuh kepada Pakatan Rakyat pada tahun 2008 sebenarnya mendedahkan kepincangan Khalid sebagai ahli ekonomi.

Sebelum ini, Khalid mendabik dada dan mengumumkan bahawa Selangor berjaya mempunyai rizab RM1.9 bilion hasil “kehebatan kepimpinannya menerajui kerajaan negeri”.

Jumlah besar itu, yang sudah tentu dipertikaikan oleh Barisan Nasional, dijaja oleh Khalid ke mana sahaja beliau pergi untuk memberi gambaran Selangor beruntung mempunyai pemimpin seperti beliau.

Hakikatnya ialah, bahawasanya rizab itu tidak membawa banyak erti kepada rakyat Selangor sendiri kerana kerajaan Selangor pimpinan Khalid gagal melaksanakan janji-janji asas dalam manifesto 2008.

Ini termasuk membela nasib petani dan nelayan, menyediakan perumahan kos rendah untuk rakyat, elaun bulanan untuk ibu tunggal dan subsidi untuk kanak-kanak tadika.

Rakyat Selangor pula dihambat dengan isu jalan-jalan yang semakin buruk tetapi tidak diperbaiki sungguhpun menerima peruntukan penyelenggaraan jalan daripada kerajaan Persekutuan.

Memburukkan lagi imej Khalid dan Pakatan ialah “kedegilan” kerajaan negeri untuk menentang projek Empangan Langat Dua, hanya kerana penstrukturuan semula industri air yang dibentangkan oleh kerajaan negeri dipertikaikan oleh Putrajaya.

Polemik sama ada Selangor akan menghadapi krisis air pada tahun 2014 nampak lebih penting kepada Khalid daripada memastikan pelaksanaan projek-projek empangan demi masa depan rakyat Selangor.

Apa pun polemik itu, hakikatnya ialah Syabas tidak lagi dapat memberi jaminan kepada bakal pelabur di Selangor bahawa bekalan air jangka panjang untuk keperluan sektor perindustrian adalah terjamin sebagaimana masa-masa lalu.

Beralih kepada Talam. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa penyusunan hutang Talam yang diterajui oleh Khalid merugikan rakyat Selangor.

Talam melangsaikan hutangnya kepada kerajaan negeri dengan menjual tanah-tanah yang tidak bernilai kepada kerajaan negeri pada harga yang tinggi.

Kerajaan negeri dilaporkan membeli tanah-tanah itu pada harga RM676 juta manakala hutang Talam hanya RM392 juta.

Hanya Khalid dapat menjelaskan jurang besar angka-angka itu namun Kertas Putih yang dijanjikannya dua tahun lalu, masih ditunggu-tunggu.

Selain segala kecelaruan ini, kerajaan negeri membelanjakan RM23 juta untuk membeli dua bangunan PKNS di Kuala Selangor untuk dijadikan asrama bagi pelajar Unisel.

Pelaburan besar itu sia-sia kerana dua bangunan itu masih belum siap diubahsuai untuk kegunaan pelajar.

Pada masa sama Unisel berhutang RM15 juta kepada syarikat yang membina dan menguruskan asrama yang sedia ada.

Unisel menanggung hutang itu kerana jumlah kemasukan pelajar semakin menurun dan tidak dapat menampung bayaran yang perlu dibuat oleh universiti.

Sewajarnya Khalid memberi tumpunan untuk meningkatkan jumlah pelajar Unisel dan bukan “ringan tangan” menggunakan dana awam untuk membeli bangunan baru yang masih belum dapat digunakan.

Rekod Khalid di PNB banyaknya hanya diketahui oleh pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin Umno sahaja.

Tetapi kini Khalid mempunyai rekod baru sebagai Menteri Besar Selangor.

Rakyat kini matang untuk menilai rekod baru beliau sebagai Menteri Besar, tanpa dipengaruhi dengan terjahan-terjahan blog pembangkang yang ditugas membentuk persepsi awam, lazimnya dengan menenggelamkan fakta-fakta asas.

No comments: