Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, August 11, 2012

Jangan asyik salahkan Umno, Noh ingatkan PR

KUALA LUMPUR, 10 OGOS - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar hari ini membidas tindakan pembangkang yang berterusan menyalahkan Umno dan BN atas setiap kesalahan yang mereka lakukan.

Katanya tindakan tersebut dilihat tidak lebih sebagai untuk menjaga hubungan antara tiga parti - PKR, DAP dan Pas.

"Inilah perangai (sebenar) PKR yang selalu hendak mencari salah orang lain tetapi salah sendiri dibutakan. Ibarat pepatah Melayu,'Gajah di depan mata mereka tak nampak, tapi kuman di seberang laut nampak'," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan pembinaan susur keluar bertol dari Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) ke Jalan B149, Kundang, dekat sini. Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Noh yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno mengulas kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Umno kini memulakan kempen pelampau agama.

Laporan itu disiarkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu yang mendakwa berdosa sekiranya menyokong parti DAP.

Akhbar itu memetik pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah yang dilapor berkata adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.

Abdullah berkata umat Islam juga tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang bekerjasama atau menjalin pakatan dengan DAP pada pilihan raya kerana sokongan itu akan turut membawa kemenangan kepada DAP.

Dalam pada itu, Noh berkata Anwar kelihatan seperti takut untuk menegur pengerusi DAP, Karpal Singh yang lantang menentang pelaksanaan hukum hudud yang dihasratkan oleh Pas jika berjaya menawan Putrajaya.

No comments: