Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, July 10, 2012

VIDEO.!!! Isu Tanah - Noh cabar ADUN Sekinchan lapor SPRM

TANJONG KARANG, 9 JULAI - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar hari ini menafikan beliau terbabit dalam salah guna kuasa berhubung transaksi pembelian tanah di pekan Tanjong Karang pada 2001.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Swee Lim membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mempunyai bukti bahawa beliau bersalah.

"Kalau dia (Swee Lim) tuduh salah guna kuasa, suruh dia lapor SPRM lah kalau kita ada salah guna kuasa, kita ada undang-undang.

"Kemudian dia dakwa ada satu tanah RM3 juta, saya nak suruh dia beli tanah RM3 juta, dia dah tak ada isulah, saya belum jadi ketua bahagian (Umno) lagi (pada) tahun 2002... dah lama... bila tiada isu dia ungkit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan RM864,153 kepada 583 pesawah di Majlis Penyerahan Insentif Peningkatan Hasil Padi(IPH) Musim 2/2011 yang berlangsung di Pusat Pukal PPK Tanjung Karang, Blok E Sawah Sempadan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noh juga berkata bahawa beliau akan mendedahkan beberapa isu membabitkan kondominum Sekinchan di kawasan ADUN tersebut dalam tempoh terdekat.

"Tapi dia pun kena tunggulah kes kondominium dekat Sekinchan itu... dia kena tunggulah kita akan dedahkan pulak. Kalau nak cari salah pentadbiran ini kita pun boleh tahu... macam mana peranannya," katanya.

Ditanya bila beliau akan mendedahkan isu berkenaan, Noh memberitahu pemberita bahawa beliau "menunggu masa sesuai".

Sebelum ini, Ng mendakwa berlaku salahguna kuasa semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung transaksi pembelian tanah di Tanjong Karang pada 2001.

Dakwanya, tanah berkeluasan 1.8 ekar yang dikategorikan sebagai bangunan perniagaan di pekan Tanjong Karang itu menjadi milik Umno Bahagian Tanjong Karang pada 17 Mac 2004 apabila dijual pada harga RM1 satu kaki persegi berbanding harga sepatutnya RM24 satu kaki persegi.

No comments: