Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, July 5, 2012

Pemuda MCA Minta Kerajaan Negeri Selangor Dedahkan Urusan Kutip Semula Hutang.?

KUALA LUMPUR, 3 Julai - Pemuda MCA pada Selasa meminta kerajaan negeri Selangor mendedahkan butiran berkaitan dengan langkah dan urusan mengutip semula hutang membabitkan lebih RM1 bilion dengan sebuah syarikat senaraian awam.

Memberikan latar belakang kes itu pada sidang akhbar di sini, Ketua Biro Profesional Muda MCA Datuk Chua Tee Yong berkata pada 2009, Dewan Undangan Negeri Selangor meluluskan RM392 juta kepada Menteri Besar Incorporated untuk membeli hutang syarikat itu yang terhutang dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata RM277 juta adalah hutang kepada Permodalan Negeri Selangor Bhd dan Universiti Industri Selangor (Unisel) tetapi Unisel langsung tidak menerima wang itu.

Jika Unisel ada menerima wang itu, dengan itu ia tidak perlu mengumpulkan RM30 juta untuk membantu pelajarnya, dakwa Chua.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu juga mendakwa RM115 juta hutang kepada Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) oleh kerajaan negeri masih tidak dibayar mengikut laporan tahunan KHSB.

Chua mendakwa kerajaan negeri membeli aset bernilai RM676 juta daripada syarikat senaraian awam itu dan ini membolehkan syarikat itu menukar status daripada syarikat PN17. Syarikat berstatus PN17 dianggap sebagai gagal melunaskan bayaran balik pinjamannya. - BERNAMA

No comments: