Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, July 30, 2012

Menteri Prihatin Terhadap Rakyat - Datuk Seri Noh memberi jaminan Pasar Tani jual ikan pada harga murah.

SHAH ALAM, 29 JULAI - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar memberi jaminan harga empat jenis ikan, yang dijual di Pasar Tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), kekal murah sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

Beliau berkata tawaran potongan harga itu membabitkan ikan pelaling, cencaru, selar dan kembung seperti yang diperkenalkan dalam jualan 'Ikan Rakyat' pada April lepas menerusi program Jimat Belanja Dapur.

"Ikan berkenaan dijual pada harga lebih murah iaitu antara lima peratus hingga 30 peratus berbanding harga pasaran. Selain ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan terpilih juga dijual lebih murah menerusi program ini yang diperkenalkan pada musim perayaan tahun lepas dan menjadi pilihan terbaik untuk pengguna," katanya selepas mengadakan lawatan mengejut di Pasar Tani Stadium Seksyen 13 di sini hari ini.

Noh berkata lawatan mengejut itu diadakan selepas beliau dimaklumkan harga ikan naik mendadak di beberapa pasar tani ekoran kekurangan bekalan ikan untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata berdasarkan pemantauan yang dilakukan, harga ikan masih dijual pada kadar sepatutnya namun mengakui bekalan ikan untuk pasaran tempatan berkurangan.

"Bekalan ikan agak berkurangan namun masih pada tahap terkawal, dan saya beri amaran kepada peniaga supaya tidak ambil kesempatan," katanya.

Mengulas lanjut, Noh berkata sekiranya situasi mendesak, kementeriannya menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengambil langkah menghentikan atau mengurangkan eskport ikan ke luar negara.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana bekalan untuk pasaran tempatan menjadi keutamaan namun beberapa perkara akan diambil kira memandangkan pengeksport ikan mempunyai kontrak bekalan yang telah ditandatangani dengan pengimport.

"Kita masih melihat dan memantau situasi ini dan tindakan yang sewajarnya akan diambil," katanya.

Sementara itu, Noh berkata kementerian sedang dalam perancangan untuk mengimport daging lembu dari Sudan bagi memastikan bekalan daging mencukupi terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Beliau berkata barangan lain seperti ayam mempunyai bekalan mencukupi manakala harganya akan diumumkan oleh Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan dalam masa terdekat.

Katanya pengguna digalakkan supaya membeli barangan keperluan dapur di 475 pasar tani di seluruh negara menerusi program Jimat Belanja Dapur yang menawarkan harga istimewa selain pasar tani istimewa yang diadakan dua hari sebelum sambutan Hari Raya kelak.

No comments: