Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, June 7, 2012

Selangor Boleh Lebih Maju Di Bawah BN - Muhyiddin

KUALA SELANGOR, 7 Jun (Bernama) - Selangor boleh lebih maju jika Barisan Nasional (BN) kembali menerajui negeri itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis ini.

Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan bahawa pembangunan yang akan dibawa BN adalah jauh lebih baik berbanding Parti Keadilan Rakyat yang menerajui Selangor sejak tiga tahun lepas.

"Ini janji kita. Banyak faedah daripada kerajaan Barisan Nasional," katanya semasa berucap pada Majlis Mesra Rakyat sempena sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa di Jeram, dekat sini.

Beliau berkata Selangor menjadi antara negeri termaju di Malaysia hasil daripada usaha kerajaan dan para pemimpin BN yang menerajuinya sebelum ini.

"Walaupun banyak khazanah kekayaan di atas dan di bawah muka bumi, ia tidak mungkin boleh dibuka dan dimaju, dibangunkan kalau tiada keupayaan daripada segi kepimpinan.

Kepimpinan itu lahir daripada kebijaksanaan, pengetahuan, ilmu dan kemahiran yang ada," katanya.

Bagi menentukan hala tuju negeri ini amnya dan Malaysia khususnya, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata rakyat memerlukan kepimpinan yang bijaksana untuk membimbing dan membina kekuatan ke arah menjadikan negara ini lebih maju, dihormati dan disegani di dunia.

Beliau berkata menerusi Program Transformasi Kerajaan, BN berusaha meningkatkan peluang rakyat mengecapi pendidikan berkualiti, membangunkan prasarana seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik serta mengurangkan beban rakyat dengan memberikan bantuan kewangan dan subsidi barangan.

Selain itu, katanya kerajaan juga mengotakan janjinya mengawal harga petrol dengan menurunkan harga RON97 kepada RM2.80 seliter hari ini berbanding RM2.90 sebelum ini. Justeru, katanya rakyat Malaysia sepatutnya bersyukur kerana dapat menjalani kehidupan yang jauh lebih baik di negara yang aman dan stabil berbanding negara jiran.

Menurutnya kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa berusaha memperkukuhkan lagi ekonomi negara walaupun banyak negara maju termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kini berdepan masalah ekonomi.

"Ini bermakna dalam situasi yang begitu mencabar, BN berupaya mempertahankan kedaulatan ekonomi kita, bukan setakat itu kita menunaikan tanggungjawab kita, menepati janji kita," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin juga meluluskan RM200,000 yang dipohon Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa itu, yang dibina pada 1909 ketika zaman penjajahan British di Tanah Melayu.

Beliau turut memuji usaha pihak sekolah itu yang sentiasa berusaha memartabatkan anak bangsa dalam bidang pendidikan.

No comments: