Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, June 9, 2012

Penuntut Unisel sambut baik PTPTN disambung

SHAH ALAM 8 JUN - Penuntut Unisel yang ditemui AntaraPos hari ini melahirkan rasa syukur mereka terhadap pengumuman kerajaan untuk menarik balik pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terhadap pelajar baru universiti tersebut.

Rata-rata yang ditemui mengakui pinjaman PTPTN sangat penting di dalam membantu mahasiswa di dalam pengajian mereka.

Adnan Haris, 21, penuntut tahun satu Unisel berkata beliau sangat mengalu-alukan dan bersyukur dengan pengumuman tersebut yang disifatkannya sangat bermakna kepada penuntut institusi tersebut.

Menurutnya, di saat kedudukan pinjaman mereka dibekukan, ramai penuntut yang bercadang mahu berhenti dari meneruskan pengajian mereka memandangkan kos yang tinggi yang perlu ditanggung mereka.

“Kalau beku (pinjaman) memang majoriti pelajar bercadang nak berhenti sebab risau kos yang tinggi. Jadi sekarang Alhamdulillah, maknanya kami semua boleh meneruskan pengajian kami.

“(PTPTN) Memang sangat-sangat penting. Ia sangat membantu dan wajar diteruskan,” katanya.

Seorang lagi penuntut, Juwairiah Razab, 21, penuntut tahun satu Pengurusan Perniagaan berkongsi pendapat yang sama.

Menurutnya, pinjaman PTPTN penting kepada penuntut Unisel memandangkan majoriti penuntutnya bukan datang dari keluarga yang berada. Perasaan sekarang gembira sebab yuran pun boleh tahan mahal.

“Penuntut sini pun bukannya senang, sebelum ini (ketika PTPTN dibekukan) agak runsing jugak kerana duit (PTPTN) boleh buat belanja beli buku dan sewa rumah. Jadi terima kasih pada pihak atasan sebab selesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Sementara itu Anas Basir, 19, penuntut Diploma Perakaunan melahirkan rasa syukur beliau di atas pengumuman tersebut.

Ini kerana menurutnya, sebelum ini ketika diberitahu bahawa PTPTN telah membekukan pinjaman mereka, ia memberi beban kepada kebanyakan penuntut untuk meneruskan pengajian mereka.

Tapi dengan pengumuman terbaru ini, penuntut-penuntut berasa sangat lega kerana akhirnya mereka dapat menumpukan pengajian mereka dengan baik.

“PTPTN sangat membantu kerana ia menolong siswa siswi di menara gading. Tanpa PTPTN, ia membebankan pelajar kerana ada yang datang dari keluarga yang kurang pendapatan,” katanya.

Pagi ini, kerajaan melalui Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan penarikan semula pembekuan pinjaman PTPTN terhadap pelajar Unisel selepas mengambil kira rayuan dan penjelasan Unisel bahawa ia tidak berniat untuk memberi pendidikan percuma kepada pelajar.

Keputusan itu diambil berikutan perbincangan yang dibuat bersama pemangku Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad dengan Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan di pejabat PTPTN jam 11 pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk saifuddin Anddulah yang diminta mengulas perkembangan terbaru itu berkata beliau lega, maslah itu berjaya dielesaikan dengan baik dengan segera.

"Saya bersyukur kerana ia selesai dengan segera.

"Saya hubungi menteri, pagi tadi, minta tarik balik pembekuan pada kedua-dua Kuis dan Unisel," katanya kepada Antarapos menerusi khidmat pesanan ringkas, sms.

Khaled dilaporkan berkata pembekuan sementara itu ditarik balik serta-merta setelah Unisel mengakui PTPTN penting untuk pelajar. Beliau berkata Unisel juga akur bahawa pihaknya tidak berniat untuk memberi pendidikan percuma kepada pelajar terbabit seperti yang dicanang oleh pembangkang.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim antara pemimpin Pakatan Rakyat yang lantang menuntut pemansuhan PTPTN.

Mereka mendakwa Pakatan berupaya memberikan pendidikan percuma sehingga peringkat universiti kepada semua pelajar sekiranya mereka menawan Putrajaya pada pilihanraya umum akan datang.

Unisel dan KUIS adalah di bawah teraju kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR.

Pada 3 Jun lalu, Anwar juga dilaporkan mendesak pelajar untuk tidak membayar pinjaman PTPTN kerana mendakwa ia bakal dihapuskan oleh pembangkang tidak lama lagi. - Antarapos

No comments: