Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, May 25, 2012

Selangor bawah PKR seperti 'kerajaan papan tanda'

TANJONG KARANG 22 Mei - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar (gambar) menyifatkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak ubah seperti 'kerajaan papan tanda'.

Beliau berkata, gelaran itu diberikan memandangkan kerajaan negeri dilihat lebih suka menaikkan papan tanda berbanding melaksanakan tanggungjawab membantu rakyat.

Katanya, papan tanda yang dibina kononnya sebagai publisiti bagi menunjukkan apa yang dilakukan kerajaan negeri itu sebenarnya tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat kerana banyak janji pembangkang pada pilihan raya umum lalu tidak dilaksanakan sehingga kini.

"Saya ambil contoh di kawasan Kuala Selangor dan Permatang, kerajaan negeri menaikkan papan tanda yang mengatakan dua kawasan itu sebagai kawasan ikan segar sedangkan orang ramai sudah mengetahui perkara itu.

"Berapa banyak peruntukan yang dibelanjakan kerajaan negeri untuk papan tanda itu? Kalau setakat papan tanda, ia tidak memberi manfaat kepada rakyat, lebih baik gunakan peruntukan itu untuk membantu rakyat seperti golongan nelayan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup berjumlah RM200 kepada seramai 676 nelayan di kawasan Parlimen Tanjong Karang di sini hari ini.

Pada majlis sama, Noh menyampaikan bantuan perumahan rakyat kepada 102 nelayan di kawasan itu bagi membaiki rumah melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM900,000.

Dalam pada itu, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbeza dengan pembangkang dalam usaha membela rakyat di negeri ini.

Katanya, walaupun tidak memerlukan sebarang papan tanda atau membuat janji kepada rakyat, kerajaan BN telah melaksanakan agenda membela rakyat di negara ini termasuk di Selangor.

"Misalnya, kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan untuk membantu golongan nelayan seperti memberi elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan selain peruntukan berjumlah RM74.3 juta untuk membaiki rumah kepada 7,638 nelayan di seluruh negara," katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan turut menyediakan skim perlindungan insurans kepada seramai 47,635 nelayan di negara ini bagi memastikan golongan itu mendapat pembelaan sewajarnya.

No comments: