Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, May 11, 2012

PM Gesa Pimpinan BN Cari Kaedah Kreatif Selesai Masalah Rakyat.

SHAH ALAM 10 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) perlu mencari kaedah kreatif dan berkesan untuk menyelesaikan masalah rakyat dalam era moden ini.

Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, berkata Pusat Khidmat Rakyat (Pakar), pusat panggilan yang diinisiatifkan BN Selangor, merupakan antara contoh terbaik pendekatan kreatif untuk menangani aduan rakyat. “Mungkin pendekatan ini kita boleh bawa untuk dipertimbangkan ke kerajaan negeri lain. Dalam era moden ini, kita kena fikir cara kreatif dan novel (baru) dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya ketika diwawancara juruhebah SelangorFM, Dassky Shah Ewas, sempena pelancaran Pakar dan lawatan sehari ke Selangor di sini pada Khamis.

Terdahulu, Najib turut menjawab dua panggilan rakyat ke Pakar yang mengutarakan masalah mengenai badan pengurusan bersama (JMB) sebuah kondominium dan permohonan penubuhan Klinik 1Malaysia.

Panggilan itu turut disiarkan secara langsung di SelangorFM.

Menjawab aduan mengenai JMB yang didakwa tertangguh lebih 12 tahun berikutan karenah birokrasi pemaju kondominium oleh pemanggil yang mengenalkan dirinya sebagai Edmund, Najib berkata masalah itu tertakluk di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan di bawah kerajaan negeri.

“Buat masa sekarang kerajaan negeri di bawah pembangkang tetapi kalau Edmund (pemanggil) boleh bantu BN untuk mengambil alih negeri ini, mungkin kita dapat selesaikan masalah ini dengan cepat,” kata Najib, yang turut berjanji akan merujuk perkara itu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mengenai permohonan daripada penduduk pangsapuri Seri Kemuning di Kota Kemuning di sini yang memperkenalkan diri sebagai Mohd Nazri untuk mewujudkan Klinik 1Malaysia, Najib berkata beliau akan merujuk perkara itu kepada Kementerian Kesihatan untuk dipertimbangkan.

Pakar, yang mula beroperasi pada 9 April lepas, setakat ini menerima 1,963 aduan rakyat yang mana 1,437 atau 73 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.

Antara panggilan yang diterima adalah berkaitan kebajikan membabitkan orang kelainan upaya, warga emas, ibu tunggal, Bantuan Rakyat 1Malaysia, pencen, pinjaman pendidikan, infrastruktur dan projek terbengkalai.

Najib turut merasmikan tiga acara anjuran BN Selangor iaitu pelancaran lagu ‘Sayangi Selangor Yakini BN’, penubuhan Persatuan Barisan Artis Nasional (BRAN) peringkat nasional dan melepaskan konvoi anggota Persatuan Pemandu Teksi Selangor yang memasang bendera BN pada teksi masing-masing.

No comments: