Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, May 7, 2012

Barisan Nasional sedia tawan Selangor PRU 13

SHAH ALAM - Pelbagai persiapan dan strategi terperinci telah disusun parti Barisan Nasional (BN) Selangor sebagai persedian menawan semula negeri itu pada pilihan raya umum nanti.

Menurut Yang Dipertua Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Selangor, Tan Sri Datuk Dr Abu Hasan Omar berkata pihaknya akan bekerjasama dengan jentera parti BN mengempur negeri itu yang kini diperintah Pakatan Rakyat. “Dari segi jentera sudah pun disusun dan mereka telah bersedia. Sekarang ini menjalankan kerja sebab itu yang penting. Jangan buang masa lagi.

“Sekarang tunjukkan persediaan itu memang benar-benar sudah bersedia bukan nak sedapkan hati masing-masing. Maka kalau pilihan raya dijalankan sebulan dua ini sudah cukup masa,” tegas beliau.

Abu Hasan berkata selain mengumpul jentera, kekuatan lain untuk merampas Selangor adalah memenangi kepercayaan rakyat kepada BN semula.

“Pada masa sekarang banyak masalah rakyat hadapi sepanjang tempoh 3 tahun pimpinan PKR di Selangor. Mereka tidak pentingkan masalah pembangunan, tapi politik. Banyak janji-janji mereka dalam raih sokongan dulu, janji tidak dilaksanakan sehingga sekarang,” ujarnya lagi.

Malah menurutnya perkara itu merupakan cabaran yang besar untuk Mubarak bersama-sama membantu jentera parti bagi memenangi semula hati rakyat demi kesejahteraan dan kebaikan rakyat di negara ini.

Mubarak merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan berperanan membimbing dan membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Seramai 40 anggota Mubarak dilantik sebagai fasilitator kepada kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor bagi membantu memperkukuh jentera pilihan raya BN untuk menawan semula negeri itu pada pilihan raya umum nanti.

No comments: