Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, May 11, 2012

66 Tahun Perjuangan UMNO Limpahkan Nikmat Kepada Seluruh Rakyat – Najib

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata selama 66 tahun penubuhannya, UMNO telah membuktikan bahawa perjuangan parti itu telah memanfaatkan semua rakyat Malaysia, ia telah melimpahkan nikmat kepada semua tanpa mengira kaum, anutan agama mahupun fahaman ideologi.

Sambil menyifatkan UMNO adalah satu pertubuhan massa yang bersifat kebangsaan dan demokratik, beliau berkata keunikan UMNO ialah ia parti yang sentiasa terhubung dengan denyut nadi serta menggarap aspirasi rakyat.

Justeru tegasnya tuduhan liar pihak tertentu bahawa UMNO ialah parti rasis, anti demokrasi mahupun parti elitis tidak benar sama-sekali.

“Hari ini genap 66 tahun usia UMNO. Alhamdullilah 55 tahun daripada kewujudan tersebut telah menyaksikan UMNO menjadi tulang belakang kepada Kerajaan Barisan Nasional yang semenjak merdeka terus diberi kepercayaan melalui pilihan raya yang adil dan bebas oleh majoriti rakyat untuk memimpin negara.

“Sepanjang tempoh tersebut juga menyaksikan bagaimana UMNO dan rakan-rakannya di dalam Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional menyelamatkan demokrasi dari rahang kediktatoran komunisme, menjadi bidan kepada pembentukan Malaysia, membawa pembangunan kepada kawasan luar bandar, melancarkan perang terhadap kemiskinan dan buta huruf, merencana kejuruteraan sosial yang menyaksikan pembentukan kelas menengah yang besar, melaksanakan prakarsa pembaharuan tanah melalui FELDA, melakukan pelaburan besar di dalam bidang pendidikan dan prasarana asas negara dan merubah status negara dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi”, katanya dalam satu perutusan sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke 66 di sini, hari ini.

Namun katanya lagi kejayaan yang telah dicapai tidak boleh menjadikan UMNO alpa terhadap keperluan untuk terus memugar semangat yang mendasari penubuhan UMNO itu sendiri iaitu untuk memartabatkan agama, bangsa dan bumi tercinta.

“Masa berlalu persekitaran berubah cabaran parti era pasca merdeka sudah tentu berbeza dengan cabaran parti pra merdeka dan ketika awal merdeka tetapi di atas segalanya ia demi agama, bangsa dan negara.

“Kita tidak mahu semangat asas yang menjadi teras kekuatan UMNO ini tinggal di dalam lipatan sejarah semata-mata dikenang dan dinostalgiakan”, ujarnya.

Hari ini UMNO kata beliau mempunyai tugas yang amat berat untuk memastikan bukan sahaja sokongan dan dukungan padu massa terhadap Dasar Transformasi Nasional (DTN) berserta semua komponennya ke arah merealisasikan Wawasan 2020 tetapi juga untuk menentukan semua rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera mendapat peluang yang adil dan saksama daripada usaha menjayakannya.

Ucapan Presiden Umno sempena Hari Umno Ke - 66

Tambahnya tanpa sokongan serta dukungan rakyat DTN akan menemui kegagalan. Kegagalan bukanlah satu opsyen, kegagalan DTN bermakna negara akan menjadi statik dan regresif.

“Saya percaya bahawa segala proses introspeksi, perubahan dan pembaharuan yang telah kita sama-sama rencana dan laksanakan sepanjang lebih tiga tahun yang lalu akan menjadikan UMNO sebuah parti yang relevan dan mendapat tempat di hati rakyat.

“Ayuh kukuhkan saf perjuangan, satukan hati-hati kita dalam perpaduan, yakinlah bahawa perjuangan kita ialah perjuangan yang benar dan mulia. Inilah masanya untuk kita mengukuhkan barisan yang ada demi memastikan masa depan bangsa dan negara.

“Perjuangan ini sama sekali tidak boleh berhenti. Ahli-ahli UMNO mesti beriltizam untuk memastikan kejayaan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang menjadi medan penentu relevan atau tidaknya parti keramat ini. Marilah kita bersama-sama memperbaharui azam serta tekad untuk terus berjuang ke arah Malaysia yang sejahtera, maju dan makmur”, katanya.

No comments: