Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, April 15, 2012

Selangor rampas 25 tapak kekal pengeluaran makanan

TANJUNG KARANG (14/04/2012) -  Menteri Pertanian dan Indusri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menyifatkan kerajaan Selangor sebagai kerajaan drakula, kerana sanggup 'menghisap darah' rakyat sendiri demi menjaga kepentingan politik.

Beliau berkata demikian bagi merujuk tindakan kerajaan negeri yang sanggup merampas tanah Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) milik 25 peserta di Taman Agroteknologi Bestari Jaya yang turut menyumbang kepada isu kekurangan bekalan air dinegeri itu.

"Kezaliman mereka terbukti. Tanah TKPM yang telah dibangunkan sejak 12 tahun lalu dengan hampir RM25 juta hasil pertanian dikeluarkan di sini, tetapi hari ini senang-senang dia keluarkan notis nak halau semua peserta.

"Kita sedar, tanah itu tanah kerajaan negeri, tetapi pembangunannya di kawasan tersebut melibatkan kementerian pertanian dan kita pun ada MoU (memorandum persefahaman).

Mengapa sekarang hendak dirampas? Sebagai Menteri pertanian, saya telah arahkan Jabatan Pertanian untuk mempertahankan TKPM ini daripada dirampas kerajaan negeri," katanya dalam satu sidang media selepas menyampaikan ucapan dalam majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Barisan Nasional Tanjung Karang, semalam.

Mengulas isu bekalan air yang gagal disediakan secukupnya oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sehingga menyebabkan hampir 129 projek yang diluluskan tidak dapat dilaksanakan, Noh berkata hal tersebut sebenarnya berpunca daripada kerajaan negeri sendiri.

Tambah beliau lagi, projek-projek tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat kelulusan SYABAS berikutan bekalan air yang tidak mencukupi, yang mana rizab air syarikat konsesi tersebut dianggarkan 2.47%, berbanding anggaran secukupnya perlu mencecah 20%.

"Sebelum Barisan Nasional kalah (dalam PRU 12),kita sudah ada perjanjian dengan kerajaan negeri ketika itu (BN) bahawa kerajaan persekutuan akan membangunkan loji Langat 2 yang bernilai RM 3.6 billion. Tapi sehingga kini masih tak dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri kini (pakatan rakyat) masih belum sediakan tapaknya.

"Jadi, walaupun kerajaan persekutuan boleh bagi peruntukan tapi projek ini tak boleh nak dimulakan sebab belum ada arahan dari kerajaan negeri. Bahkan, kerajaan persekutuan terpaksa memperuntukkan hampir RM 600 juta untuk menaiktaraf beberapa loji tertentu untuk membekalkan air bersih di Lembah Kelang," terang beliau.

Berikutan itu, menurut beliau, hampir 12 ribu peluang pekerjaan yang sepatutnya disediakan daripada 129 projek perkilangan tersebut tidak dapat dilaksanakan bertitik tolak daripada permasalahan ini.

"Dapat dilihat Selangor sedang menuju kehancuran dan kemunduran apabila projek perumahan tak boleh mula, projek kilang tak boleh mula disebabkan masalah air," kata beliau.

Sumber - AntaraPos

No comments: