Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, April 15, 2012

Orang muda kini bersama BN

KLANG - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Waris Malaya, yang secara rasminya menjadi Sahabat BN membuktikan golongan muda sentiasa menyokong BN.

"Siapa kata orang muda tak sokong? Waris Malaya ini bukankah orang muda?" katanya semasa berucap melancarkan Waris Malaya sebagai Sahabat BN di Dataran Transformasi Kampung Jalan Kebun di sini, malam tadi.

Beliau berkata perhimpunan yang melibatkan ramai golongan muda termasuk yang masih belasan tahun dan belum layak mengundi merupakan cerminan dan manifestasi bahawa angin kencang sedang bertiup di bumi Selangor.

"Angin kencang akan meranapkan sesiapa cuba menolak perubahan yang dituntut rakyat Selangor, yang ingin kembalikan BN di Selangor," katanya.

Pengerusi BN itu berkata tidak kira sama ada tua atau muda yang berhimpun beramai-ramai pada hari ini, yang penting adalah telah tersemat di hati masing-masing untuk memilih BN sebagai parti memerintah.

Sambil meminta mereka membuat perubahan itu pada pilihan raya umum akan datang, Najib berkata mereka sebenarnya telah tertipu dengan janji manis pembangkang pada pilihan raya 2008.

Menurutnya antara janji yang tidak dikotakan kerajaan Selangor ialah menurunkan cukai pintu, memberi elaun untuk anak-anak memasuki tadika, elaun ibu sepenuh masa serta pelbagai elaun lain.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri BN menghulurkan bantuan kepada rakyat menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM500 untuk setiap keluarga yang pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan, bantuan awal persekolahan RM100 dan Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM200 serta Kedai dan Klinik Rakyat 1Malaysia.

"Hanya BN yang boleh menjamin masa depan negara ini dan para pemimpin kami bertanggungjawab untuk menyediakan sebuah negara yang lebih baik dan makmur menerusi ekonomi yang berkembang dengan begitu memberangsangkan, selain kekayaan baru dapat dijana dan dipacu.

"Negara lebih maju, rakyatnya lebih sejahtera kerana rakyat ada pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan melalui Pelan Transformasi Ekonomi yang kita laksanakan. Lebih 300,000 (peluang pekerjaan) telah dan akan di disediakan," katanya.

Najib berkata sudah tiba masanya rakyat Malaysia melihat ke hadapan satu era baru menerusi transformasi bukannya reformasi kerana transformasi adalah lebih baik daripada reformasi.

"Kalau tidak percaya, tanya Senator Ezam Mohd Noor (penaung Waris Malaya). Dia sudah tinggalkan reformasi kerana dia tak percayakan reformasi.

"Reformasi berakhir dengan baling kerusi, reformasi bersiri dengan Bersih 1.0, Bersih 2.0 , Bersih 3.0. Transformasi (BN) membawa kepada perubahan kepada rakyat, kita lebihkan pekerjaan, kita berikan BR1M kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata gerakan reformasi hanya mengumpulkan orang di jalanan kerana ada yang kononnya hendak menjadi juara tetapi sebenarnya hanya menyusahkan rakyat.

"Tidak perlu demonstrasi jalanan tetapi berkumpullah secara aman tetapi yang penting mesti ada rasa tanggungjawab kerana bumi ini adalah bumi yang bertuah dan perlu dipertahankan," katanya.

Najib berkata berkata BN mampu membawa perubahan besar kepada Selangor jika ia kembali menerajui negeri ini.

Beliau menarik perhatian kepada pelbagai masalah yang berlaku di Selangor sekarang termasuk isu air bersih berikutan kegagalan kerajaan PKR menanganinya.

"Selangor tidak boleh dipisahkan daripada perubahan besar... susah jika Selangor dipegang oleh orang lain. Susah nak dapat kelulusan tanah, susah nak dapat bekalan air.

"Krisis air akan berlaku tidak lama lagi kerana ia (kerajaan negeri) menghalang Projek Langat 2. Kita (kerajaan Pusat) nak laksanakan tapi ia tak diberi development order (perintah pembangunan), ini akan menimbulkan krisis air," katanya.

Najib berkata para pelabur mula bimbang kerana sukar menambah kilang yang dapat memberikan peluang pekerjaan untuk rakyat Selangor berikutan keengganan kerajaan Selangor meluluskan pelaksanaan projek itu, yang akan menyalurkan air mentah dari Pahang ke Selangor.

"Akan berlaku satu musibah yang berat kepada rakyat Selangor jika bekalan air tidak mencukupi. Perkara ini sebenarnya boleh diselesaikan menerusi perundingan tetapi jika tidak boleh, nampaknya ia perlu diselesaikan menerusi pilihan raya dengan memilih BN," katanya.

Pada majlis itu, Najib juga berterima kasih kepada konvoi belia bermotosikal yang mengiringinya semasa membonceng sebuah motosikal dari Tol KESAS Bukit Kemuning ke Kampung Jalan Kebun, di mana acara itu diadakan.

"Terima kasih kerana memberi saya pengalaman yang manis. Saya dapat pengalaman... seronok," katanya.

Pada majlis itu, Presiden Waris Malaya Sheikh Whessal Sheikh Ahmad berkata pertubuhan bukan kerajaan itu bermatlamat menjadi benteng dalam mempertahankan negara daripada ancaman pengkhianat negara yang menjadi alat kepada kuasa asing.

Waris Malaya atau Pertubuhan Warisan dan Kebajikan Anak Malaysia Selangor ditubuhkan pada Disember tahun lepas.

No comments: