Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, April 19, 2012

Lengahkan p'raya kerana Pakatan belum tunaikan janji

KUALA LUMPUR - Keputusan Pakatan Rakyat yang mahu kerajaan negeri Selangor tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Dewan Rakyat tidak mengejutkan kerana banyak janji-janji yang ditabur belum ditunaikan, kata beberapa ahli parlimen Barisan Nasional.

Bagi ahli parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mempunyai pertimbangan politik yang tersendiri berikutan pada masa ini, penduduk, khususnya di Selangor lebih menyakini kepimpinan BN yang lebih mengutamakan agenda rakyat berbanding agenda peribadi pemimpin Pakatan.

“Kalau Pakatan ingin melengahkan pilihan raya di Selangor itu menunjukkan mereka mempunyai agenda yang belum selesai, janji mereka yang tidak tercapai dan bagaimana usaha mereka perlu dibuat lagi untuk mengukuhkan jentera mereka yang agak kucar-kacir sekarang ini, prestasi yang begitu buruk oleh kerajaan di Selangor.

“Jadi banyak isu yang belum selesai itu antara sebab saya kira kenapa mereka mahu melengahkan pilihan raya di Selangor kerana itu menunjukkan bahawa kalau dibuat dalam masa terdekat parlimen, mereka (pembangkang) akan kalah di Selangor kerana seperti yang kita tahu rakyat Selangor sedang menunjukkan keyakinan dan menunjukkan pola sokongan kepada Barisan Nasional,” katanya.

Anwar hari ini selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen mahu DUN Selangor tidak dibubarkan serentak dengan pengumuman kerajaan pusat atas alasan kononnya daftar pemilih perlu benar-benar bersih.

Bagi Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin, Anwar terdesak membuat arahan itu kerana tidak yakin Pakatan mampu mengekalkan kuasa mereka di Selangor.

“Dulu semasa Pakatan Rakyat menang di Selangor, saya kira berdasarkan pada senarai pilihan raya yang disediakan oleh SPR dan tidak ada timbul soal bersih ke atau tidak bersih, mereka sudah menang, jadi barangkali masa itu kita anggap bersihlah bila sudah menang.

“Jadi saya kira ini hanyalah gimik politik sahaja jadi mereka melambat-lambatkan pilihan raya negeri supaya mereka terus mahu memegang dan menerajui negeri,” katanya ketika ditemui di parlimen tadi.

Awang Adek selain itu berkata tindakan melenggahkan pilihan raya turut akan menambahkan kos perbelanjaan kerana negara terpaksa mengadakan dua kali pilihan raya bagi menentukan pucuk pimpinan pentadbiran negara.

“Saya rasa rakyat akan melihat ini sebagai satu usaha yang merugikan kewangan negara sampai perlu adakah pilihan raya dua kali yang mana sebenarnya boleh dilakukan sekali sahaja.

“Jadi saya rasa rakyat boleh memikirkan dan kira akhirnya rakyat akan menghukum dan buat masa ini percakapan atau perkiraan politik tidak penting kerana apa yang pentingnya ialah rakyat akan membuat penilaian dan membuat keputusan dalam pilihan raya,” katanya.

Malah menurut beliau tidak menghairankan atau mengejutkan pada saat-saat akhir sekiranya Pakatan membuat keputusan menarik semula hasrat mereka yang mahu menangguhkan pilihan raya.

“Jadi kalau hendak tunggu tiga bulan ke atau empat bulan ke tiada bezanya. Jadi saya rasa bagi saya ini adalah gimik politik sahaja dan kerana akhirnya mereka akan terus mengadakan pilihan raya pada masa yang sama kononnya mereka akan mengatakan mereka berbincang semula dan bersetuju kerana kesan negatif adalah lebih besar sekiranya kerajaan Pakatan di Selangor ini mengadkan pilihanraya yang berlainan,” katanya.

Sumber - AntaraPos

No comments: