Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, April 13, 2012

Jentera pilihan raya perlu jadi cermin parti - Tengku Adnan

TANJUNG KARANG - Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) diseluruh Selangor bertanggungjawab mengatur gerak kerja meyakinkan rakyat agar mereka kembali memberi mandat kepada parti itu untuk mengemudi negeri itu.

Setiausaha Agong Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu jentera pilihan raya ini juga harus menjadi cermin kepada rakyat bertapa kerajaan BN hari ini jauh lebih sensitif terhadap masalah yang membelit mereka.

Beliau kemudiannya menambah, jika jentera pilihan raya itu agresif menjayakan apa jua trasformasi yang direncanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, BN mampu kembali berada dihati rakyat.

"Pasti ada puncanya. Barangkali kita telah menjadi kerajaan terlalu lama, barangkali kita lupa diri, barangkali kita lupakan rakyat, barangkali kita rakus, barangkali kita lakukan perkara-perkara yang menyinggung hati rakyat.

"Namun, dengan adanya Perdana Menteri kita sekarang yang ingin terus merubah nasib dan pemikiran rakyat, dan kalau kita akur dengan saranan beliau, Insya-Allah Barisan nasional mampu menawan kembali kerusi-kerusi yang kalah," tegas beliau.

Tengku Adnan kemudiannya menggesa kesemua jentera pilihan raya samaada di kawasan DUN atau Parlimen menjadikan Parlimen Tangjung Karang sebagai contoh terbaik dalam usaha mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

"Kenapa Selangor jatuh ke tangan pembangkang? Tiap-tiap yang berlaku pasti ada sebabnya.Saya berharap agar kawasan-kawasan yang lain ikutlah cara Tanjung Karang agar menang dan mampu menawan kembali Selangor.

"Panggillah kawan-kawan kita dari 19 kawasan ini (naungan pembangkang) datang dan belajar dari Tanjung Karang bagaimana kita boleh rampas kembali kerusi-kerusi yang telah kita kalah," katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Tanjung Karang, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Pengerusi Barisan Nasional Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar.

Dalam pada itu, Tengku Adnan mengesahkan menerima semua senarai nama calon parti itu yang berpotensi bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Senarai nama calon itu diterima dari bahagian-bahagian parti secara
berperingkat sehingga tarikh akhir penyerahan pada 2 April lepas, katanya.

"Bagaimanapun senarai nama calon yang diutarakan kepada pucuk pimpinan ini bukan muktamad," katanya lagi.

No comments: