Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, April 6, 2012

Gelombang tolak Azmin bakal meletus.???

KUALA LUMPUR 5 April - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang terpalit dengan pelbagai dakwaan termasuk kisah kontroversi isterinya, Shamsidar Taharin bakal berdepan gelombang penolakan yang lebih besar daripada pemimpin akar umbi PKR selepas ini.

Beberapa bekas pemimpin parti tersebut juga percaya tempias gelombang penolakan berkenaan akan turut melanda Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Ketua Umum PKR itu sendiri berdepan dengan pelbagai masalah moral yang sehingga kini gagal dijawab secara konkrit.

Bagaimanapun, bekas peguam Anwar yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, beliau yakin Azmin tidak akan menjawab segala desakan daripada pemimpin akar umbi PKR, sebaliknya pihak yang mempersoal perkara itu bakal dipecat.

"Sebenarnya gelombang penolakan terhadap Azmin ini sudah lama berlaku sebab itu kita lihat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Zaid Ibrahim bertindak menentang beliau pada pemilihan PKR yang lalu. Zaid berbuat demikian kerana beliau mendapat sokongan dan mereka yang menyokong adalah akar umbi.

"Cuma nasib mereka yang berani menentang Azmin akan berakhir dengan pemecatan kerana itulah demokrasi ala PKR. Azmin anak emas Anwar dan sesiapa yang berani mencabar, mempertikai atau mendesak beliau secara terbuka pasti akan dihukum.

"Tapi kali ini desakan dibuat berdasarkan kesedaran ahli akar umbi mengenai kegagalan Azmin menjawab segala tuduhan ke atasnya. Ini menimbulkan pelbagai keraguan dan gelombang ini bakal berterusan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan berani PKR Cabang Ampang, diketuai Ketua Penerangannya, Mohd. Isa Mohd. Saidi, mendesak Azmin menjawab segala dakwaan yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR itu atau bertindak meninggalkan parti jika enggan berbuat demikian.

Dalam pada itu, bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip pula mengucapkan tahniah di atas keberanian Mohd. Isa serta meminta Ketua Penerangan PKR Cabang Ampang itu agar bersedia untuk dilabelkan sebagai pengkhianat dan tali barut UMNO.

"Ternyata masih ramai pemimpin akar umbi PKR yang cerah hati dalam menilai moral pemimpin mereka dan saya percaya selepas ini lebih ramai pihak akan membuat desakan serupa sebagaimana dilakukan Mohd. Isa. Kami sendiri sudah melakukannya dahulu," katanya. - Utusan

No comments: