Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, April 11, 2012

Banjir : Pusat sedia bantu Selangor

BATU PAHAT – Kerajaan Pusat sentiasa bersedia untuk mempertimbangkan apa juga bentuk bantuan kepada Selangor dalam untuk menangani sesuatu isu, seperti masalah banjir asalkan mempunyai permohonan.

Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, bantuan yang dimohon akan terus disalurkan sekiranya ianya relevan dan perlu diselesaikan segera.

Walau bagaimanapun, sehingga kini Kerajaan Pusat masih tidak menerima sebarang permohonan peruntukan daripada Kerajaan Negeri khususnya dalam menangani masalah banjir di negeri itu.

“Bila saya cakap pasal banjir di Selangor, Exconya pernah berkata, beliau telah berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, dan telah menghantarnya kepada Kerajaan Pusat.

“Tetapi Menteri Besarnya pula berkata, permohonan kepada Kerajaan Pusat baru hendak dimohon dan kita tidak tahu mana satu yang selama ini bercakap benar dan sebaliknya.

“Bagaimanapun, jika adanya permohonan, Kerajaan Pusat akan mengkajinya dan apabila permohonan berkenaan relevan, kerajaan pusat tidak keberatan untuk membantu,” katanya semasa lawatan kerjanya ke Projek Pertanian Moden, di sini, semalam.

Turut hadir, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Menurut Noh, setelah melihat kedua-dua kenyataan berkenaan bercanggah ini menunjukkan Kerajaan Negeri Selangor sememangnya lemah dalam urus tadbir negeri itu serta pemimpinnya tiada muafakat antara satu sama lain

Katanya, mereka sebenarnya memerlukan satu sistem pemantauan yang cekap dan jangan sentiasa menyalahkan kerajaan pusat jika berlakunya sesuatu bencana atau tragedi seperti banjir kilat.

“Setelah saya membuat semakan dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, tidak ada pun permohonan kepada Kerajaan Pusat berkenaan isu terbabit.

“Saya pernah dituduh tidak mahu membantu kerajaan Selangor untuk isu ini, dan pernah juga mereka katakan saya tidak buat apa-apa untuk dapatkan RM1 bilion untuk kerajaan mereka.

“Macam mana nak ada peruntukkan sedangkan permohonan pun tidak ada?” katanya.

No comments: