Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, March 18, 2012

Penulis blog disaran terap rasa cinta kepada negara

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pengamal media baharu termasuk penulis blog disaran menerapkan rasa cinta kepada negara serta sistem demokrasi yang menjadi amalan di negara ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, golongan itu harus bijak memilih sama ada mahu menjadi seorang penulis blog biasa atau seorang aktivis sosial.

Katanya, seorang blogger biasa mempunyai niat untuk menyakiti perasaan orang lain manakala seorang aktivis sosial pula menulis untuk membina sebuah dunia yang lebih baik.

"Kita mahu melihat Malaysia yang lebih baik berteraskan toleransi penduduk berbilang kaum sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

"Ini kerana, penulisan blog melalui media sosial akan melahirkan satu kehidupan baru meskipun ada pihak mengatakan kumpulan itu memainkan peranan negatif.

"Tetapi kita perlu lihat dari sudut yang positif kerana ia dalam kata lain dapat membentuk negara bangsa yang berjaya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Anugerah Penulis Blog dan Media Sosial 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Anugerah tersebut mempertandingkan 30 kategori termasuk Blog Politik Terbaik yang dimenangi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala Ikon Media Sosial Tahunan pula dimenangi artis popular, Aznil Nawawi.

No comments: