Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, March 7, 2012

MB didesak dedah butiran kontrak

SHAH ALAM 6 Mac - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didesak mendedahkan butiran kontrak yang dikatakan diberi secara rundingan terus tanpa melalui proses tender terbuka seperti didakwa pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin semalam.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, pendedahan itu penting kerana dakwaan Raja Petra adalah sesuatu yang serius apatah lagi ia melibatkan kredibiliti Abdul Khalid dalam mentadbir kerajaan negeri.

Menurutnya, sebelum ini Abdul Khalid pernah berjanji pada rakyat bahawa pentadbirannya akan menghapuskan proses pemberian tender secara rundingan terus kerana menganggap amalan itu tidak telus.

''Suatu ketika parti pembangkang sering mengaitkan BN dengan amalan nepotisme dan kronisme seolah-olah mereka sempurna serta tidak pernah melakukan kesalahan, tetapi hari ini kita baca dalam tulisan Raja Petra, perkara sebaliknya pula yang berlaku.

''Ini menunjukkan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak konsisten meskipun setelah hampir empat tahun diberi peluang memerintah, malah sehingga hari ini masih banyak janji yang dibuat dalam pilihan raya umum lalu tidak terlaksana," katanya kepada pemberita di Pejabat UMNO Selangor di sini hari ini.

Beliau mengulas entri terbaru Raja Petra yang mendakwa Kerajaan PKR Selangor telah menganugerahkan tender secara rundingan terus dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM250 juta sejak 2008 dan bukannya melalui tender terbuka seperti yang dijanjikan oleh mereka.

Raja Petra dipetik sebagai berkata, pada Ogos 2008, Abdul Khalid telah membuat pengumuman bahawa Selangor akan menamatkan amalan pemberian kontrak secara rundingan terus.

Namun, pada tahun sama juga kontrak berjumlah RM79 juta telah dianugerahkan kepada sebuah syarikat secara rundingan terus.

Mohd. Zin berkata, pendedahan Raja Petra yang pernah menjadi 'rakan' dalam pakatan pembangkang itu seharusnya membuka mata rakyat bahawa Kerajaan PKR Selangor telah gagal mentadbir negeri dengan baik.

''Rakyat boleh menilai kelemahan kerajaan negeri termasuk dalam mengurus tadbir beberapa agensi mereka, antaranya kelemahan pihak berkuasa tempatan (PBT) menguruskan kutipan sampah sehingga menimbulkan rungutan rakyat di negeri ini," jelasnya.

Tambah Mohd. Zin, pihaknya turut menerima aduan daripada beberapa kontraktor bumiputera di negeri ini yang sukar memperoleh tender daripada Kerajaan PKR Selangor sekali gus membuatkan sumber pendapatan mereka terjejas.

"Beberapa kontraktor bumiputera mengadu kepada saya kerana berasa hairan apabila mereka sentiasa tidak diberi peluang untuk memperoleh tender daripada kerajaan negeri. Ini menimbulkan persoalan kepada kita, kepada siapa sebenarnya tender tersebut diberi dan apakah ia dibuat secara telus dan adil," katanya.

No comments: