Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, March 11, 2012

BN kena bangkitkan 'rasa' rakyat - PM

Oleh : DR MOHD ZAINUL FITHRI OTHMAN
Wawancara Mingguan Malaysia (5 Mac 2012) dengan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mengenai masa depan parti-parti politik dan ekonomi tanah air menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menarik saya untuk berkongsi pandangan.

Pada tahun 2008, kita melihat kejayaan pakatan pembangkang PKR, DAP dan Pas dalam pilihan raya adalah kerana dorongan persepsi yang dibuat oleh mereka. Rakyat terdorong kepada sifat populariti sesuatu isu yang disensasikan oleh pakatan pembangkang dan membuatkan ada rakyat percaya dan ada yang tidak - tetapi mengambil sikap berdiam diri atau "non-partisan".

Ini ditambahi pula pengurusan persepsi yang tidak dilakukan dengan segera secara berkesan oleh pihak Barisan Nasional (BN) membuatkan ia menular kepada minda rakyat. Namun demikian, Apabila pakatan pembangkang berjaya memerintah negeri seperti Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perak (buat seketika waktu), isu-isu lama di Kelantan masih belum diselesaikan setelah diperintah begitu lama oleh Pas.

Masalah air dan pembinaan masjid masih menjadi tanda tanya rakyat. Isu pembalakan yang masih tidak berjawab oleh pihak pakatan pembangkang menjadi tanda nota dalam pemikiran rakyat.

Di Kedah, krisis dalaman Pas dan juga pemerintah negeri telah melihatkan bahawa "Kedah bukan di bawah kawalan" tetapi dalam keadaan tenat dari aspek pentadbiran dan pengurusannya. Rakyat menjadi gelisah akibat ketidakcekapan pentadbiran Pas.

Di Pulau Pinang, janji manis DAP masih banyak tidak dikotakan seperti mana beberapa soalan yang diajukan oleh para hadirin dalam sesi Debat Lim Guan Eng dan Chua Soi Lek tempoh hari membuatkan rakyat berbangsa Tionghua merasa resah dan meluat dengan janji-janji DAP.

Di Selangor, pelbagai masalah timbul daripada persoalan pasir, kegagalan sistem pembuangan sampah sehinggalah mengenai pemecatan Datuk Dr. Hasan Ali sebagai exco negeri menjadi tanda tanya.

Di Perak walaupun pakatan pembangkang memerintah untuk seketika tetapi isu tanah yang cuba dilaksanakan dan diberikan kepada penduduk Kampung Baru Cina menjadi igauan rakyat jelata. Keresahan dan kegusaran ini membuatkan paradigma persepsi rakyat beranjak.

Kalau di blog-blog, rata-rata rakyat memberikan pendapat yang berani menentang perkara pokok seperti isu sokongan Anwar Ibrahim terhadap tindakan yang diambil oleh pihak Israel kepada rakyat Palestin; pemecatan Hasan Ali daripada exco negeri dan keahlian Pas kerana menegakkan kesucian Islam masih tidak terjawab oleh Pas Pusat; isu pasir yang masih menjadi tanda tanya adalah isu-isu yang membuatkan rakyat bertambah bising dan khuatir kepada kredibiliti dan integriti PKR, DAP dan Pas.

Dalam YouTube kita lihat yang mengambil bahagian dalam mempertahankan isu Islam contohnya adalah para ulama sendiri yang sudah tidak mahu rakyat dimomokkan dengan putaran (spinning) pakatan pembangkang.

Pada pendapat mereka, jika kurang daripada empat tahun memerintah negeri sudah banyak kesilapan dan banyaknya berlaku permasalahan, apatah lagi jika diberi peluang memerintah negara selama satu penggal yang bukan hanya akan merosakkan negara tetapi menyebabkan rakyat menderita secara keseluruhannya. Tetapi masih ada rakyat yang berada dalam keadaan blur mengenai banyak isu dan banyak juga yang tidak ambil peduli langsung tentang landskap politik yang wujud kini.

Memandangkan sokongan rakyat kian meningkat kepada Kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan idea-idea baru dan daya kreatifnya telah berjaya memujuk semula rakyat. Keikhlasan dan kejujuran beliau sebagai pemimpin, terutama menangani kemelut keresahan rakyat dapat dirasai oleh rakyat. Jika Najib ingin menghidupkan 'rasa', maka beliau sudah hampir ke tahap kejayaan tersebut. Namun demikian, penjenamaan Najib yang sedang popular ini hendaklah disambut oleh pemimpin tempatan dan pemimpin parti komponen.

Susulan kepada gerak kerja Najib hendaklah diusahakan dengan lebih hebat. Jika pembukaan kepada gerak kerja rakyat ini sudah dibuat oleh beliau, maka pemimpin tempatan hendaklah menyambutnya dengan melakukan susulannya dengan cara berkesan.

Jika pemimpin berjaya mewujudkan dan mencipta 'rasa' untuk Rakyat, saya pasti, rakyat akan kembali kepada kerajaan kecuali hardcore penyokong pakatan pembangkang. Kredibiliti kepimpinan bukan boleh dilihat dari sudut pandai berucap semata-mata tetapi ia hendaklah dilihat dan dinilai dari sudut KTPnya iaitu Key Tangible Performances atau Prestasi Tindaklaku Kerja yang boleh dilihat dengan mata kasar. Dan bukti ini ada dalam hasilan kepimpinan Najib. Ke mana tempat yang Presiden UMNO itu tidak pernah turun? Persoalan apa yang tidak Perdana Menteri jawab dan selesaikan? Ini adalah bukti. Bukti yang besar jika dibandingkan dengan kepimpinan pembangkang lakukan.

Kelebihan Najib adalah kerana beliau adalah anak kepada Tun Abdul Razak pemimpin kesayangan rakyat. Sifat keprihatinan dan kejujuran serta keikhlasan adalah seperti Allahyarham bapanya. Sifat 'rasa' yang diberikan oleh Tun Razak masih dirasai dan dihormati oleh kebanyakan rakyat negara ini. Falsafah pemikiran Tun Razak bersemadi dalam jiwa Najib. Inilah senjata yang ampuh yang tiada wujud di kalangan pimpinan pembangkang dan inilah yang ditakuti oleh mereka sebenarnya.

Saya rasa akan ada kejutan demi kejutan yang akan dilakukan oleh Najib demi membela nasib rakyat jelata. Pembangkang sedar akan perkara ini maka sentimen perkauman dan kebencian dilaungkan oleh mereka terutama kepada kaum Cina di negara ini. Kaum Cina bukan sebuah kaum yang senang ditemberang buat selamanya, kaum itu pragmatik dan dinamik, mempunyai cara nilai sendiri dan mempunyai sifat berterima kasih dan penghargaan yang tinggi dan sensitif.

Kaum Cina adalah kaum yang percaya kepada tangible evidence - bukti nyata, bukan bukti dan janji yang dibuai-buai. Saya percaya kaum Cina akan memberikan kepercayaan kepada pimpinan Najib. Kaum Cina adalah sebuah kaum yang sayangkan kepada keamanan dan kemakmuran kerana ini adalah asas kejayaan perniagaan.

Kaum India begitu juga. Kaum India yang dulunya benci kepada kerajaan kini sudah kembali kerana kejujuran dan keikhlasan Najib yang dianggap idola kepimpinan mereka. Mereka lihat Perdana Menteri telah menterjemahkan kata-kata kepada tindakan dengan membebaskan beberapa pimpinan HINDRAF.

Walaupun Najib sedar pembebasan mereka ini tidak menjamin sokongan, tapi beliau percaya bahawa kaum India bertunjangkan kepada keikhlasan dan kejujuran yang menjadi paksi kepercayaan mereka akan kembali memperkukuhkan kedudukan kerajaan.

Najib berpegang kepada satu kepercayaan iaitu negara Malaysia tidak boleh dibangunkan oleh satu kaum sahaja. Ia hendaklah dibangunkan melalui satu gabungan rakyat dengan satu kepercayaan yang mantap dan mapan. Sebab itu 1Malaysia dilahirkan untuk membina Malaysia yang berwajah baru. Malaysia baru mesti menjadi agenda utama rakyat melalui kekuatan nilai hidup rakyat yang baru. Inilah penjenamaan Najib. Nilai yang dipupuk adalah jujur, ikhlas, amanah, adil, sopan dan santun, cepat, tepat, dan mesra.

Sentimen perkauman, ketidakadilan sosial dan juga sentimen agama hendaklah dikawal dan dipinggirkan jika ingin melihat Malaysia Baru. Mandat inilah yang dipinta oleh Najib agar rakyat memberikan kepadanya peluang merealisasikan semua impian dan agenda mendaulatkan rakyat. Misi mendaulatkan rakyat adalah agenda utama Najib. Inilah nilai yang dibawa dalam kepimpinannya.

BN secara keseluruhannya perlu bergerak menggunakan nilai ini. Kegagalan menjalankan gerak ini akan memberikan tamparan kepada BN pada pilihan raya nanti.

Di samping itu, jika BN mahu menang, kepimpinan parti-parti komponen harus menerima perubahan. Kepimpinan atasan parti di bahagian hendaklah menelan perubahan ini dengan berani iaitu menerima hakikat kelahiran pemimpin baru, yang mungkin bukan berada pada saf kepimpinan parti, tetapi memberikan harapan baru kepada rakyat.

Penulis merupakan Pengarah Institut Kepimpinan dan Keusahawanan, Management & Science University (MSU)

No comments: