Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, March 18, 2012

Bekas pelumba kelab Le Tua, Rafizi Hamdan maut dalam kemalangan langgar lari.

KUALA LUMPUR - Bekas pelumba kelab Le Tua, Rafizi Hamdan terbunuh dalam satu kemalangan langgar lari di KM 20.3 Jalan Lingkaran Tengah 2, Taman Melawati, Ampang D, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, Rafizi, 37, yang mewakili pasukan Le Tua dan baru menimang cahaya mata kedua dipercayai dilanggar sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke Genting Sempah untuk bertemu dan beriadah bersama ahli kelab berbasikal Le Tua.

Abang ipar Rafizi, Akmal Abu Hanif berkata, keluarganya terkejut setelah menerima berita kemalangan yang dimaklumkan oleh salah seorang rakan arwah.

"Tidak sangka aktiviti hujung minggu arwah beriadah bersama rakannya bertukar tragedi," katanya.

Katanya, arwah telah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia sembilan tahun dan baru menerima cahaya mata kedua.

Rafizi juga merupakan penaja kelab basikal Le Tua yang popular dalam penyertaan kejohanan Le Tour de Langkawi sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, mangsa mati di tempat kejadian setelah dirempuh oleh sebuah kereta Proton Saga yang kemudian melarikan diri.

"Pemandu itu melarikan diri tanpa menyedari nombor pendaftaran milik kereta dia tertanggal di lokasi, kami berjaya mengenal pasti kenderaan itu," katanya.

Amiruddin berkata, kejadian berlaku di hadapan stesen minyak Shell berhampiran susur keluar ke Taman Melawati, polis akan melakukan siasatan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya atau melulu hingga menyebabkan kematian.

"Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan polis," kata beliau.

No comments: