Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, March 19, 2012

Apa cerita pertemuan PM dengan Wanita UMNO Jumaat ini ??

Pertemuan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wakil Pergerakan Wanita UMNO dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang Jumaat ini dijangka akan dapat meleraikan beberapa isu mengenai kedudukan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang terus menerus cuba dijolok oleh pembangkang.

Bercakap dalam sidang akhbar di ibupejabat UMNO Isnin untuk mengumumkan mengenai pertemuan penting itu,Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menegaskan pergerakan itu tetap utuh dan mantap sekalipun berdepan dengan serangan itu.

Sidang akhbar itu turut dihadiri oleh Penolong Setiausaha Wanita UMNO Datuk Rosni Sohar dan sebilangan Exco pergerakan itu.

Katanya tindak tanduk itu tidak menghairankan kerana pembangkang sangat berhajat untuk melemahkan pergerakan itu melalui apa cara sekalipun.

Menurut Tengku Adnan pembangkang kini cuba sedaya upaya cuba mengambarkan apa saja salah UMNO sedangkan mereka sendiri ‘ hampas’.

Beliau menjelaskan semasa pertemuan di Dewan Merdeka PWTC nanti Perdana Menteri bukan sahaja dijangka menyentuh isu Shahrizat tetapi juga memberi penerangan mengenai pelbagai isu politik semasa.

Ditanya mengenai adanya satu dua suara dikalangan ahli pergerakan Wanita sendiri yang dilaporkan meminta Shahrizat letak jawatan Ketua Wanita UMNO,Tengku Adnan kata mereka tidak wajar menari ikut rentak pembangkang.

Beliau meminta seluruh ahli UMNO berpadu dalam hal ini dan tidak ‘bercakap di luar’.

Setiausaha Agung UMNO itu mengingatkan pada hakikat bahawa Shahrizat cuma isteri kepada Pengerusi NFC sahaja.

Lagipun, Ketua Wanita adalah jawatan yang dipilih menerusi pemilihan dan ini berbeza dengan jawatan menteri dimana beliau dilantik.

No comments: