Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, March 30, 2012

ADUN Sungai Burong gotong-royong baiki rumah uzur

TANJUNG KARANG 26 Mac - Keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Datuk Mohd. Shamsuddin Lias terhadap penduduk yang kurang bernasib memberi harapan baru kepada sebuah keluarga di Kampung Kunci Air Buang di sini, untuk memiliki sebuah rumah yang lebih sempurna.

Seorang tukang kebun, Alias Azmi, 37, tidak menyangka rumah pusaka yang usang tempat dia sekeluarga berteduh akhirnya diperbaiki hasil gotong-royong penduduk kampung yang digerakkan oleh Mohd. Shamsuddin.

Menurut Mohd. Shamsuddin, beliau bersama skuad yang ditubuhkannya melibatkan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) dan anggota sayap parti Barisan Nasional (BN) berjaya mengenal pasti kesusahan keluarga itu ketika melawat kampung tersebut minggu lalu.

Hari ini, beliau bersama kira-kira 40 orang penduduk kampung bertungkus-lumus memperbaiki rumah Alias agar lebih selesa untuk didiami bersama keluarganya.

"Rumah ini terlalu usang dan orang ramai pasti terkejut apabila mengetahui keluarga Alias selama ini hidup berlantaikan tanah manakala keadaan dinding dan bumbung rumah juga hampir roboh.

"Insya-Allah dalam tempoh seminggu, kita akan simen lantai bahagian ruang tamu dan dapur rumah keluarga ini melalui gotong-royong serta khidmat tukang rumah yang kita lantik," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Pada program gotong-royong itu, Mohd. Shamsuddin turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM500 dan barangan keperluan harian.

Mohd. Shamsuddin berkata, program membaiki rumah usang tersebut merupakan antara aktiviti mendekati rakyat yang digerakkan beliau sejak mewakili DUN tersebut pada 2004.

"Kes keluarga Alias agak istimewa kerana kerana kami memperuntukkan sebanyak RM10,000 bagi memperbaiki rumah mereka berbanding peruntukan biasa iaitu maksimum RM5,000.

"Ini kerana saya lihat rumah keluarga ini terlalu usang dan memerlukan banyak kerja baik pulih," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shamsuddin berkata, melalui program mendekati rakyat, pihaknya telah berjaya membaik pulih lebih 300 buah rumah usang di kawasan DUN tersebut sejak 2004.

Selain itu katanya, setiap hujung minggu, beliau bersama anggota skuad khas mengadakan lawatan ke rumah- rumah penduduk dan menziarahi mereka yang sakit bagi memastikan golongan tersebut mendapat bantuan sewajarnya.

"Biasanya kalau kita dapat mengenal pasti penduduk yang patut diberikan bantuan, saya akan buat laporan bagi membolehkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat turun padang seberapa segera," katanya.

No comments: