Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, March 18, 2012

ADA PENYELEWENGAN PEMBERIAN KONTRAK SAMPAH DI SELANGOR.??

SUBANG JAYA, 17 Mac - Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Jacob George mendedahkan dokumen yang didakwa sebagai berlakunya penyelewengan dalam pemberian kontrak sisa pepejal di Selangor.

Beliau berkata dokumen ini datangnya dari pemberi maklumat melibatkan "kawan-kawan dan kroni" 30 syarikat "mencurigakan" yang terlibat dalam proses tender dalam pemberian kontrak kutipan sampah yang turut membongkar satu watak utama misteri yang dikenali sebagai "Mok".

"Kita lihat bahawa banyak syarikat-syarikat ini menggunakan pemampat sampah dan lori yang sama. Apakah ukuran atau barometer yang digunakan untuk memberi kontrak kepada syarikat-syarikat ini?

"Kebiasaannya kontrak diberikan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai infrastruktur, pengalaman dan harga tender yang baik. Tetapi apa yang berlaku sekarang? Mengapa syarikat sub-kontrak kerja-kerja mereka kepada orang lain dan menggunakan trak orang lain? Tidakkah ini menunjukkan terdapat percanggahan kepentingan?

"Kami juga dapati bahawa dakwaan wujud dua syarikat menawarkan harga yang begitu hampir dengan harga anggaran yang hanya boleh membawa satu kemungkinan besar, terdapat unsur campurtangan dari dalam yang memberikan maklumat-maklumat kepada kontraktor ini mengenai butiran tender," kata George.

"Ada sesuatu yang tidak kena. Saya hanya mengetengahkan aduan daripada rakyat. Mengapa tanggungjawab CASSA untuk membuktikan semua unsur-unsur rasuah? Itu tugas SPRM. Mengapa kerajaan negeri menolak semua beban kepada kami dan tidak terkehadapan dan secara terbuka menjelaskan segala-galanya?, " soal beliau.

Jacob George berkata sepatutnya kerajaan negeri harus telus cukup untuk memberi penerangan kepada orang awam mengenai dokumen tender dan membiarkan orang ramai yang tahu proses sebenar.

"Jika anda benar-benar mahu memberikan projek-projek ini kepada kenalan anda, mengapa tidak hanya mengadakan tender tertutup? Apa perlu dikatakan sebagai tender terbuka" katanya.

Jacob George turut menunjukkan dokumen yang didakwa ditulis oleh seorang kontraktor yang hilang dalam proses tender akibat mereka bukan dari kalangan kroni. "Surat ini merujuk kepada nama 'Mok', satu nama yang saya telah mendengar daripada sumber-sumber saya yang lain juga. Dia seolah-olah menjadi fasilitator yang menjaga keseluruhan proses tender.

"Keseluruhan proses pemberian tender ini seperti operasi Ali Baba di mana syarikat-syarikat Bumiputera digunakan sebagai penghias muka hadapan majalah manakala orang lain mengawal selia proksi', "katanya.

Jacob George turut mengumumkan bahawa CASSA dengan sekurang-kurangnya 16 NGO lain telah meneruskan dengan rancangan untuk mengadakan beberapa siri ceramah dan penerangan ke seluruh negara mengenai perkara ini.

Kita mahu bercakap mengenai tadbir urus yang baik dan rasuah. Bukan sahaja melibatkan isu tender sampah, malah melibatkan isu pasir, pembelian dan perolehan. Kami mahu pengundi untuk berfikir dan mengundi dengan betul, katanya.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melalui Pegawai Eksekutifnya, Mohd Mustaffa Hamzah, sebuah organisasi yang disokong CASSA, akan turut sama dipanggil untuk mengambil tindakan drastik ke atas kerajaan negeri Selangor.

"Kami menggesa semua NGO yang lain untuk membuat pendirian yang sama untuk menyokong ketelusan dan anti-rasuah, dan menghentikan pertumbuhan rasuah di Malaysia. Sekarang ini kita melihat pemimpin kerajaan negeri yang tidak realistik. Mereka bercakap tentang ketelusan dan rasuah tetapi apabila melibatkan rakan-rakan mereka, mereka berdiam diri. Yang ini tidak betul, "kata Mustaffa.

"Ada sesuatu yang betul-betul tidak kena di sini. Dan apa yang kita saksikan kini hanyalah kualiti kejatuhan pungutan sampah secara drastik. Ini adalah bom jangka yang berdetik, "kata George. - klpos

No comments: