Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, February 27, 2012

Jangan beri ‘tempoh lanjutan’ kepada pembangkang!

PELABUHAN KLANG 26 Feb. — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, pakatan pembangkang tidak perlu diberi ‘tempoh lanjutan’ untuk terus memerintah Selangor yang menyaksikan banyak janjinya tidak tertunai malah membebankan rakyat dengan pelbagai masalah.

Perdana Menteri berkata, Selangor selama ini maju kerana dasar-dasar dan prasarana yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini, dan pihak pembangkang tidak boleh mendapatkan pujian terhadap hasil titik peluh BN itu.

“Kita akui mungkin kita ada buat sedikit sebanyak kesilapan pada masa dulu sebab itu rakyat tidak menyokong kita. Tapi kita sudah insaf daripada kesilapan dulu dan kita mohon maaf kepada rakyat Selangor kalau ada apa-apa kesilapan.

“Dan kita berikrar daripada kesilapan itu, atas kesedaran itu, kita akan bangunkan satu kekuatan baru untuk mengubah landskap di Selangor supaya di bawah kepimpinan BN, kita akan menjurus kepada masa depan yang lebih baik lagi,” katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN Selangor di sini.

Dalam ucapan selama setengah jam itu, Najib yang juga Pengerusi BN Selangor berkata sejak dua minggu lepas, beliau telah turun padang ke Perak, Melaka, Kedah dan hari ini di Selangor, dan mendapati suasana dalam negara kini menjurus menyokong BN pada pilihan raya umum kelak.

No comments: