Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, March 17, 2009

Petikan sidang media Lembaga Disiplin Umno - Malaysiakini

Berikut adalah petikan sidang media Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen, bersama Ahli Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Najmuddin Megat Khas, dan Penasihat Undang-undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun, di Ibu Pejabat Umno di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur petang tadi.
Penjelasan Mohd Hafarizam berhubung perkara 10.1: 10.1 adalah satu perkara anggapan kebersalahan, jika ejen, lobi atau perayu didapati bersalah dan ada fakta yang menunjukkan prinsipal itu berpengetahuan dan juga terbabit, maka dia juga perlu diambil tindakan di bawah 10.1.

Tengku Ahmad Rithauddeen: 10.1 seperti yang dijelaskan tadi, adalah satu anggapan di bawah sistem perundangan. kesalahannya disebabkan ada link (hubungan) atau sabit iaitu pekerja dia atau apa saja yang buat salah maka dia sebagai prinsipal, dianggap bersalah. tapi kesalahan dia tidaklah seperti apa yang dilakukan oleh ejennya.

Wartawan: Adakah ejen Ali melakukan kesalahan politik wang?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Ya seperti apa yang disebut.

Mohd Hafarizam: Maksud di sini adalah ejennya yang melakukan. Kalau tuan-tuan lihat nombor 4, 5, 6, semuanya bahagian yang sama. Jadi mereka dituduh di bawah perkara ini dan YB di tuduh 10.1. daripada itu hukumannya adalah 20.9 iaitu dilarang daripada bertanding dalam mana-mana jawatan dalam parti.

Wartawan: Adakah mereka dibenarkan membuat rayuan dan tempoh yang ditetapkan?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Rayuan terpulang pada orang berkenaan. Tempoh? kita sediakan masa untuk mereka merayu jika mereka mahu.

Wartawan: Sebelum perhimpunan?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Terpulang pada mereka.

Wartawan: Adakah Ali digantung keahlian?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Tidak. Dia hanya dilarang bertanding. Dia boleh mengundi.

Wartawan: Kenapa Khairy Jamaluddin hanya diberi amaran sedangkan melakukan kesalahan sama?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Hukuman adalah berdasarkan kes yang dilakukan. Tidak ada kes yang sama. Katakan orang bunuh, didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh, dia tertikam sekali saja, dan mati. Tetapi sebaliknya kalau ada mengatakan orang itu ada keterangan yang bunuh atau tikam 20 kali, jadi hukuman itu kalaulah setahun, kawan ni yang tikam 19, 20 kali tikam itu, kena tujuh atau lapan tahun.

Wartawan: Ada sesiapa yang mempengaruhi keputusan?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Ingin saya jelaskan di sini yang kami adalah badan bebas. ‘Nobody should disturb us and our decision.’ (Tiada siapa yang patut ganggu kami dan keputusan kami).

Wartawan: Bagaimana dengan Azalina?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Saya tak tahu.

Wartawan: Adakah ahli yang sudah didakwa oleh SPRM boleh bertanding?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Itu saya tidak boleh kata apa-apa.

Wartawan: Adakah kesalahan dilakukan masa pencalonan atau kempen?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Ada masa pencalonan dan ada masa kempen. Dalam kes Ali pun begitu.

Wartawan: Berhubung dengan Azlina...

Tengku Ahmad Rithauddeen: ‘Don’t ask me anything about Azlina’ (Jangan tanya saya fasal Azalina)... saya tak boleh. Perkara yang tidak keluar lagi sudah tanya saya.

Wartawan: Adakah dalam siasatan terhadap Ali, Ali dipanggil untuk siasatan?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Ya...’almost two hours’ (hampir dua jam)... ketika siasatan.

Wartawan: Khairy Jamaluddin dan Ali didakwa 10.1, tapi sejauh mana perbezaannya?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Ada perbezaan.

Mohd Hafarizam: 10.1 ada beza, sama ada rasuah wang atau hanya makan-makan. Dengan makan-makan kesalahannya tak sama dengan rasuah wang. Itu sebab ada yang kena 3 tahun dan ada yang kena amaran.

Wartawan: Dalam kes Ali, adakah dia terbabit politik wang atau makan-makan?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Dia punya ejen sebenarnya banyak jatuh pada kes nombor 4, Saadon, Setiausaha Politik, apa yang dilakukannya bagi duit ke, bagi makan ke, maka disifatkan yang dia juga bersalah. Tapi Ali tidak buat masa itu, dibuat oleh ejennya, Saadon. Maka dia terbabit sama dan perlu beri penjelasan.

Wartawan: Adakah Tan Sri fikir yang Ali Rustam terbabit?

Tengku Ahmad Rithauddeen: ‘How come, I can’t say that’... (Mana boleh, saya tak boleh kata begitu)...siapa tahu, tuhan saja yang tahu.

Wartawan: Adakah Ali menafikan tuduhan terhadapnya ketika siasatan?

Tengku Ahmad Rithauddeen: ‘Yes, there is no link,’ (Ya, tak ada kaitan) tetapi beliau perlu mengakuinya yang ‘connection’ (kaitan) antara beliau dan ejen.

Wartawan: Ada atau tidak sesiapa yang cuba mengganggu keputusan yang di buat?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Macam mana saya nak beritahu sesuatu yang rahsia.

Wartawan: Ali dan Khairy Jamaluddin...apa beza antara mereka?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Keadaan yang membezakannya.

Mohd Hafarizam: Mengenai Khairy Jamaluddin, yang melakukannya adalah ejennya, tapi tiada yang dia bagi ‘direct consent’ (restu secara langsung) atau ‘you do it for me’ (awak buat untuk saya). Jadi link (kaitan) pada Khairy Jamaluddin adalah lemah. Memang ‘he is involved, but not so strong.’ (dia terbabit tetapi tidak terlalu sangat). Jadi itu bezanya dengan Ali.

Wartawan: Jadi Ali direct link? (kaitan langsung)

Tengku Ahmad Rithauddeen: Tidak, kalau ‘direct link’ (kaitan langsung) Ali akan didakwa mengikut 5.6 atau 5.1.

Wartawan: YB Khairy Jamaluddin boleh bertanding sebagai Ketua Pemuda?

Tengku Ahmad Rithauddeen: Selalunya diberi amaran, dia boleh bertanding.

SPRM tunggu laporan Lembaga Disiplin Umno - Malaysiakini

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata ia perlu menunggu laporan daripada Lembaga Disiplin Umno berhubung sebarang dakwaan berkaitan politik wang yang membabitkan pemimpin dan anggota Umno.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Syukri Abdul, berkata pihaknya menunggu laporan daripada parti itu sebelum boleh mengambil tindakan selanjutnya.
"Kita memerlukan maklumat asas dan laporan daripada parti itu. Kita tidak boleh membuat dakwaan jika tiada laporan yang dibuat. Itu tindakan (siasatan) mereka (Umno) sendiri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ali Rustam buat penjelasan esok - Malaysiakini

Gambar Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Perhubungan Umno di Melaka, pagi tadi.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang dilarang bertanding Timbalan Presiden pada pemilihan parti minggu depan hanya akan memberi penjelasan berhubung larangan itu di Melaka, esok.

Bercakap kepada pemberita pada sesi memperkenalkan calon di Ipoh, petang ini, beliau yang kelihatan tenang berkata setakat ini beliau belum menerima keputusan rasmi daripada Lembaga Disiplin Umno.

Walaubagaimanapun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, kekal sebagai Ketua Menteri Melaka.

Najib berkata beliau berharap Mohd Ali dapat menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Beliau mahu Mohd Ali terus menyumbang kepada perjuangan parti.

Senarai 15 ahli Umno dikenakan tindakan - Malaysiakini

Berikut adalah senarai 15 ahli Umno yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno yang diumumkan hari ini:
  • Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (dilarang bertanding atau dipilih ke jawatan timbalan presiden)
  • Ketua Pemuda Umno Sabah, Datuk Japlin Akim (digantung 3 tahun)
  • Ketua Wanita Bandar Tun Razak, Salmah Pin (digantung 3 tahun)
  • Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bukit Katil, Saadun Basiron (digantung 3 tahun)
  • AJK Umno Bukit Katil, Rosli Hasan (digantung 3 tahun)
  • Naib Ketua Puteri Umno Bukit Katil, Zalina Ismail (digantung 3 tahun)
  • Ketua Pemuda Umno Maran, Mohamad Najuib Mohd Shahaimi (digantung 3 tahun)
  • Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak, Datuk Mokhtar Samad, (digantung setahun)
  • Ahli Umno Paya Besar, Datuk Abd Manan Ismail (digantung setahun)
  • Timbalan Ketua Bahagian Kuala Krai, Amran Mat (digantung setahun)
  • Ahli Umno Gua Musang, Mohd Zuki Mohd Zin (digantung setahun)
  • Timbalan Ketua Bahagian Paya Besar, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (amaran)
  • AJK Umno Bahagian Paya Besar, Mohd Zaili Besar (amaran)
  • Naib Ketua Bahagian Paya Besar, Mohd Sohaimi Jusof (amaran)
  • Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (amaran)

Terkini Keputusan Lembaga Disiplin Umno - Malaysiakini

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini dilucutkan kelayakan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan kerana didapati terlibat dengan politik wang.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga didapati bersalah tetapi hanya diberikan amaran.

Selain itu, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo pula didapati tidak bersalah.

Menurut Tengku Ahmad Rithauddeen, Mohd Ali didapati bersalah Perkara 10.1, Tata Etika Ahli Umno yang membawa hukuman dilarang daripada bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden sahaja.

Katanya, sebanyak 29 kes disiasat oleh Lembaga Disiplin dan 15 daripadanya didapati bersalah. - mStar

Lebih 90 Peratus Wakil Calon Tolak Cadangan Guna Sistem Kiraan Digital - Malaysiakini

Kuala Lumpur - Lebih 90 peratus wakil calon yang hadir pada program Taklimat dan Latihan Proses Pemilihan UMNO yang diadakan di Dewan Merdeka, PWTC di sini, jumaat lepas, menolak cadangan menggunakan sistem pengiraan undi secara digital yang dicadangkan bagi pemilihan UMNO hujung bulan ini.

Sebaliknya majoriti mereka yang hadir mahukan pengiraan undi dilakukan secara manual seperti mana yang dilaksanakan sebelum ini.

Walau bagaimanapun Setiausaha Kerja UMNO, Brig Jen (B) Datuk Husainay Hashim, berkata keputusan mengenai perkara itu terletak pada Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kita memberi satu peluang untuk wakil calon membuat pemilihan dan lebih 90 peratus tidak bersetuju.

"Jika pengiraan manual dilaksanakan seperti tahun sebelumnya akan menyebabkan keputusan pemilihan lewat sedikit," katanya.
Beliau juga berkata, wakil calon juga tidak mahu perwakilan tersalah memangkah atau memilih calon semasa mengundi, diberi peluang membetulkan kesalahan tersebut.
"Kalau salah, salahlah. Kehendak mereka ialah supaya kertas undi dipaparkan, terutama undi yang rosak," ujarnya.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsuddin Osman juga memutuskan untuk menerima dua simbol bagi memilih calon iaitu tanda pangkah dan tanda rait sebagai memenuhi permintaan wakil calon.
"Kertas undi bagi pemilihan parti pada Perhimpunan Agung UMNO ke-63 dari 24 hingga 28 Mac ini sudah dicetak dan hanya bergantung kepada senarai akhir calon yang mengesahkan bertanding", katanya.
Lebih 2,500 anggota perwakilan parti akan memilih 269 calon yang bertanding pelbagai jawatan dalam Majlis Tertinggi Umno dan ketiga-tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri pada pemilihan kali ini.

Merakyatkan Pemuda UMNO-KJ - Malaysiakini

‘Jangan burukkan kawan-kawan’ Itulah pesanan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kepada jentera yang membantu beliau berkempen merebut jawatan Ketua Pemuda. Beliau membuat peringatan itu kerana tidak mahu pemilihan yang bakal menyaksikan persaingan antara beliau dengan dua lagi calon iaitu Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo membawa perpecahan kepada Pemuda

.Beliau membuat peringatan itu kerana tidak mahu pemilihan yang bakal menyaksikan persaingan antara beliau dengan dua lagi calon iaitu Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo membawa perpecahan kepada Pemuda.

untuk bacaan selanjutnya disini

Lembaga Disiplin tentukan nasib calon Umno petang ini - Malaysiakini

Nasib lebih 20 calon yang bertanding jawatan utama dijangka diketahui nasib mereka - berhubung kes politik wang petang ini.

Lembaga Disiplin Umno dijadual mengadakan sidang media khas 4 petang.

Menurut sumber, badan itu dipercayai mengumumkan hasil siasatannya melibatkan pemimpin-pemimpin terbabit.
"Kemungkinan sidang media esok (hari ini) bertujuan untuk umumkan mengenai politik wang," kata sumber bekenaan.
Dalam pada itu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menafikan pihaknya menahan beberapa individu yang dipercayai penyokong dua pemimpin Umno yang layak bertanding dalam pemilihan parti itu hujung bulan ini.

Sebaliknya beliau menegaskan SPRM tidak membuat sebarang tangkapan terbaru berhubung politik wang dalam Umno.
"Tak ada, tak ada apa-apa tangkapan,' katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian bagi mengulas khabar angin yang mengatakan 11 orang penyokong Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan tujuh penyokong Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ditahan oleh SPRM.

Kedua-dua mereka masing-masing bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda.

Ahmad bagaimanapun menyifatkan khabar agin tersebut sengaja disebarkan terutamanya menjelang pemilihan Umno pada 24 hingga 28 Mac.
"Dah namapun khabar angin, jadi ia memang khabar anginlah.

"Memang banyak khabar angin begini disebarkan terutamanya bila pemilihan (Umno) dah dekat," katanya.
Ditanya sama ada Lembaga Disiplin Umno ada berhubung atau membuat laporan berhubung politik wang kepada pihaknya, beliau enggan mengulas lanjut. - mStar