Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, March 8, 2009

Puteri perlu kuat, dekat dengan rakyat - Malaysiakini

IDA RAHAYU (tiga dari kiri) bersama Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad (tiga dari kanan) dan beberapa calon lain yang turut tanding jawatan Ketua Puteri Umno selepas menerima Anugerah Usahawan Puteri Umno pada November 2006. Ida Rahayu, yang merupakan Presiden Network Guidance Sdn. Bhd., syarikat yang dimiliknya, meletakkan pengalaman dan kepimpinan mengurus organisasinya sebagai asas memperoleh mandat mengetuai Puteri Umno.
IDA RAHAYU MD. NOOR merupakan antara calon turun gelanggang saingan Ketua Puteri Umno kali ini. Bagaimanapun belum tiada jawatan besar buat masa sekarang. Pun begitu, bersandarkan kekuatan diri, semangat dan pengalaman sebagai usahawan muda yang berjaya sepanjang satu dekad lalu, Ida Rahayu yakin akan memperoleh mandat untuk mengetuai sayap muda Umno itu.

Manifestonya mudah: mahu menggerakkan sejuta ahli Puteri menjelang tahun 2013. Ini pelannya. Ini teras persaingannya.
"Calon lain kebanyakan mereka sudah berada di atas dan mempunyai platform masing-masing. Tapi saya perlu yakinkan kemampuan saya untuk menjadi pemimpin," kata beliau dalam temu bual di ibu negara baru-baru ini.
Lima calon lain yang merebut jawatan Ketua Puteri Umno pada pemilihan kali ini. Mereka terdiri daripada Ketua Penerangannya, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Naib Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Exco Puteri, Datin Ismalina Ismail; Setiausaha Puteri, Bibi Sharliza Mohd Khalid dan bekas Ketua Puteri Cawangan OUG di Seputeh, Saarah Ali Bashah.

PM mahu keputusan dibuat segera elak masalah besar - Malaysiakini

Perdana menteri meminta isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diselesaikan segera kerana bimbang bantahan orang ramai makin meluas pada masa depan.
"Saya harap keputusan ini akan dibuat segera. Kalau tidak nanti tekanan-tekanan dan tindakan-tindakan NGO akan berterusan dan akan menjadi isu yang lebih besar," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.
Beliau berkata kerajaan mengakui adanya desakan yang kuat daripada rakyat khusunya orang Melayu yang sedang memberi perhatian terhadap perkara terbabit.

Abdullah mengulas demonstrasi besar anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) ke Istana Negara petang semalam selepas melancarkan novel Dragon Fire Hammer karya penulis berusia 14 tahun, Adam Umemoto di Petaling Jaya.Beliau berkata Kementerian Pelajaran telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan NGO bagi membincangkan perkara berkaitan PPSMI.

Bagaimanapun, tambahnya, kementerian berkenaan buat masa ini belum bersedia untuk mengumumkan bentuk keputusan yang telah diambil itu.
"Dengan adanya keputusan-keputusan peperiksaan yang boleh memberi asas kepada kementerian untuk membuat keputusan, maka saya percaya keputusan itu perlu menjadi keputusan yang baik bagi mengukuhkan kepentingan rakyat dan masa depan kita," perdana menteri dipetik berkata.
Pelaksanaan dasar kontroversi itu sejak 2003 mencetuskan perdebatan hangat dan kebelakangan ini ia melimpah dalam bentuk bantahan serius, termasuk penggiat sastera Melayu dengan laporan polis, ugutan saman dan demonstrasi besar.

Kira-kira 8,000 orang yang berarak membantah PPSMI dari Masjid Negara bagi menyerah memorandum kepada pihak Yang di-Pertuan Agong dihujani puluhan das gas pemedih mata sekitar Kampung Attap.