Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, February 12, 2009

Pemuda BN anjur perhimpunan sokong institusi raja - Malaysiakini

Pemuda Barisan Nasional (BN) akan menganjurkan satu perhimpunan ’Himpunan Menjunjung Setia-Daulat Tuanku!’ secara besar-besaran di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Khamis depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perhimpunan pada jam 8 malam itu bukan bertujuan mencipta atau bermusuh dengan mana-mana pihak tetapi sebagai langkah positif ke arah menyatukan suara hati generasi muda secara lebih tersusun dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kedaulatan Institusi Raja-Raja dan Sistem Raja Berperlembagaan.
“Senario politik terbaru di negeri Perak ternyata membuka lembaran baru kepada sejarah negara ini. Sehubungan itu, Pemuda BN menyedari keadaan bahawa Institusi Raja ini tidak boleh dibiarkan bersendirian dalam menghadapi situasi krisis sebegini.

“ Maka dengan rasa tanggungjawab perhimpunan ini akan diadakan,” katanya dalam satu kenyataan siang tadi.
Hishammuddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai golongan masyarakat termasuk kelompok profesional, bukan profesional, pertubuhan politik, agama, kebajikan dan seni mempertahankan diri dijemput menyertainya.

Katanya, adalah menjadi harapan Pemuda BN perhimpunan ini akan menjadi satu indikator kepada seluruh masyarakat bahawa kita semua boleh berpolitik dan berbeza pandangan dengan mana-mana pihak termasuk istana tetapi tidak boleh melampaui batasan.
“Secara tegas, perhimpunan ini berpendirian untuk mempertahankan kedaulatan institusi Raja dan akan mengambil tanggungjawab mempertahankan kemuliaan Sultan-sultan daripada sebarang bentuk yang mempertikai dan menghina institusi Raja oleh mana-mana pihak,” katanya.