Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, February 2, 2009

SPR mesyuarat pagi esok tentukan status Adun Perak - Malaysiakini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat esok bagi menentukan status dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak, Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi yang dilaporkan meletak jawatan semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata perkara itu perlu dibincangkan dengan teliti berikutan terdapat percanggahan fakta yang ketara hingga menimbulkan kekeliruan.

Katanya, mesyuarat berkenaan akan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk dari sudut perundangan bagi memastikan keputusan yang akan diambil tidak menimbulkan sebarang implikasi.
“Saya masih belum menerima surat peletakan jawatan yang dimaksudkan kerana pejabat masih bercuti (cuti umum Hari Wilayah).

"Tapi saya telah dihubungi oleh Pengarah SPR Perak, Ahmad Adli Abdullah yang memaklumkan bahawa beliau telah menerima surat peletakan jawatan kedua-dua ADUN berkenaan, dan juga surat penafian peletakan jawatan oleh mereka,” katanya di Putrajaya, hari ini.
Abdul Aziz menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan kedua-dua Adun berkenaan yang menimbulkan kekecohan hingga menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak kini seolah-olah berada di hujung tanduk.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak V Sivakumar dalam kenyataan mengumumkan bahawa Adun Behrang dan Adun Changkat Jering sudah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai wakil rakyat di rumah beliau pada jam 5.45 petang semalam.

Bagaimanapun kedua-dua Adun Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang tidak dapat dikesan sejak 26 Januari lalu, pada malam tadi menafikan kenyataan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak bahawa mereka telah meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Mereka mendakwa surat yang dimaksudkan Sivakumar adalah surat yang ditandatangani mereka pada 8 Mac tahun lalu selepas pilihan raya umum lalu.

Abdul Aziz berkata, mesyuarat itu akan diadakan secara tertutup dan pihaknya tidak bercadang untuk membuat hebahan media mengenai perkara itu.
“Bagaimanapun saya akan lihat kemungkinan untuk beri kenyataan akhbar mengenai isu ini selepas kita mendapat keputusan,” katanya.

2 ADUN nafi ada hantar surat letak jawatan hari ini - Malaysiakini

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi menafikan meletakkan jawatan mereka, sepertimana yang diumumkan pada Ahad petang .

ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi memaklumkan kepada pemberita bahawa beliau dan dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu tidak pernah menghantar surat berhubung perletakan jawatan itu.

Sebaliknya beliau mengakui pernah menandatangi surat janji taat setia bersama enam lagi ADUN PKR yang sekiranya mereka keluar daripada parti, mereka secara automatik perlu mengosongkan kerusi masing-masing.