Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, January 29, 2009

Cadangan Mansuhkan Sayap Parti Tidak Munasabah - Malaysiakini

Pemuda UMNO menyifatkan cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail agar UMNO memansuhkan sayap-sayap parti, jika ia benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang sebagai tidak sesuai untuk diterima dan tidak munasabah untuk dilaksanakan.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata jika perkara seumpama itu berlaku, ia menggambarkan seolah-olah UMNO sedang berhadapan dengan tekanan yang berat.
"Saya suka untuk mengingatkan bahawa kita ahli-ahli parti mewarisi sayap ini daripada generasi sebelum kita.

"Pelbagai peranan telah dimainkan secara berkesan selama ini oleh sayap-sayap parti dan kita telah melihat perkembangan struktur organisasi kita berlaku dengan baik", katanya di Kuala Lumpur, semalam.
Jelas beliau lagi Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen mungkin mempunyai pandangan dan hujah tersendiri berhubung hal ini, bagaimanapun untuk menangani isu-isu tertentu sememangnya tiada jalan singkat.

Banyak perkara tegasnya perlu dibuat dan diusahakan secara bersama oleh semua pihak.
"Perkara ini boleh kita lakukan selepas UMNO putuskan barisan kepimpinan kita selepas bulan Mac ini", ujarnya.
Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail semalam menyarankan UMNO menyusun semula struktur organisasinya dengan memansuhkan sayap-sayap parti, jika ia benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang.

Beliau berpendapat langkah itu perlu bagi memperbaiki dan memperkuatkan semula parti yang telah 50 tahun menjadi tunggak kepada kestabilan di negara ini.

Katanya lagi gejala politik wang di dalam parti boleh dibendung jika pemilihan di dalam parti dapat dikurangkan dengan memansuhkan sayap-sayap parti, terutamanya yang baru ditubuhkan.

Sementara itu mengenai cadangan UMNO Besut agar calon-calon Timbalan dan Naib Presiden UMNO yang akan bertanding pada pemilihan parti Mac ini untuk berkompromi dan memberi keutamaan kepada mereka yan mampu meningkatkan kekuatan parti, Hishammuddin berkata saranan itu tidak mustahil untuk dilakukan.

Ini kerana jelas beliau semasa proses pencalonan di peringkat bahagian pun perkara itu telah berlaku dalam suasana kekeluargaan.
"Apa yang boleh dibincangkan, kita boleh bincang dan apa yang perlu diagih-agihkan tugas selepas Mac kita boleh agihkan sekarang.

"Saya yakin terdapat banyak tugas dan tuntutan yang perlu dipikul oleh kita secara bersama dan perkara itu perlu dilakukan demi masa depan", katanya.
Beliau yang juga salah seorang calon Naib Presiden UMNO seterusnya berkata ini adalah cara UMNO dan pertimbangan yang perlu diambil kira dalam menentukan kepimpinan bukan sahaja setakat mengambil kira parti UMNO atau bukan setakat BN sahaja tetapi perkara ini keseluruhannya perlu direnung dan difikirkan secara lebih mendalam demi agama, bangsa dan tanahair.

Najib Pengerusi Perhubungan UMNO Perak ganti Tajol...? - Malaysiakini

Agendadaily | Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Khamis malam sudah tentu menarik perhatian banyak pihak. Antara isu menarik ialah perkembangan politik yang berlaku di negeri Perak yang dijangka akan menjadi perkara-perkara dibahaskan pada mesyuarat berkenaan.

Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) kawasan Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang bertindak keluar dari BN dan khabar yang berlegar ada lagi ADUN BN akan menuruti jejak langkah ADUN Bota itu pastinya menjadi tumpuan.

Malah perkembangan politik di Perak itu dikatakan mempunyai kaitan dengan kedudukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu. Ada yang menyatakan, Pengerusi sekarang, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali tidak lagi ‘diterima’ oleh kalangan pimpinan UMNO Bahagian negeri Perak.

Rasa tidak puashati dengan kepimpinan pengerusi sekarang dikatakan menjadi salah satu faktor ‘suhu politik’ UMNO Perak sedikit panas.

Sehubungan itu, difahamkan, setelah pertemuan antara wakil rakyat BN seluruh Perak dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Isnin malam satu keputusan telah dicapai iaitu teraju Badan Perhubungan UMNO negeri itu akan bertukar tangan.

Tajol Rosli dikatakan akan melepaskan jawatan berkenaan dan Najib sendiri difahamkan telah diminta untuk menerajui Badan Perhubungan UMNO negeri berkenaan.

Mesyuarat MT Khamis malam dijangka akan mengesahkan perlantikan Najib tersebut yang dijelaskan oleh beberapa sumber dalaman UMNO Perak sebagai usaha untuk mengembalikan ketenangan dalam Badan Perhubungan UMNO negeri tersebut.

Malah menurut sumber-sumber yang dihubungi, Badan Perhubungan UMNO Perak telah meminta Najib untuk membincangkan hasrat UMNO Perak dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selain Najib, kedudukan orang nombor dua dalam badan perhubungan UMNO negeri itu juga turut disentuh.

Beberapa nama disebut-sebut untuk mengisi jawatan berkenaan. Antaranya ialah Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut sumber-sumber tersebut, perubahan kepimpinan dengan meminta Najib mengetuai Badan Perhubungan UMNO Perak dilihat sebagai satu usaha untuk memantapkan semula gerakan UMNO dan BN negeri Perak menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Malah, kalangan pimpinan UMNO negeri Perak yakin kehadiran Najib mengetuai Badan Perhubungan UMNO Perak, akan diterima baik oleh ahli-ahli UMNO negeri itu dan meningkatkan lagi keyakinan BN menawan semula Perak daripada kerajaan campuran DAP,PKR dan PAS pada pilihan raya umum akan datang.