Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, January 21, 2009

Projek pembangunan DUN Sabak diluluskan - Malaysiakini

Permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Datuk Warno Dogol berhubung pembangunan projek infrastruktur awam dan asas untuk kepentingan masyarakat setempat telah diluluskan.

Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Selangor, Unit Penyelarasan Perlaksanaan. Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (PPNS), Bustami Yahaya berkata, 14 projek diluluskan dan proses cabutan undi dibuat untuk perlaksanaan projek berkenaan.
“Projek seperti ini akan dijalankan secara berkala mengikut keperluan dan kali ini, seramai 22 kontraktor dipanggil untuk proses cabutan undi. bagaimanapun hanya 18 kontraktor sahaja hadir mendaftarkan diri.

“Pemberian kerja dijalankan secara undian melalui sistem komputer dan kaedah seperti ini adalah lebih adil serta telus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis undian bagi Projek Infrastruktur Awam (Pia) dan Projek Infrastruktur Asas (Pias) Dewan Undangan Negeri Kawasan Sabak, di Balai Rakyat, Taman Berjaya.

Daripada 14 projek yang diluluskan, 11 daripadanya adalah projek infrastruktur awam dan tiga infrastruktur asas. Antaranya membaik pulih lapan surau di DUN Sabak, membina pagar tanah perkuburan, membina dua pembetung jalan dan membina benteng di Bagan Sungai Burung.

Menurutnya, sistem ini dibangunkan oleh PPNS dan berjaya mendapat anugerah Jabatan Perdana Menteri.

Hadir sama ADUN Sabak, Datuk Warno Dogol, Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Selangor, Mas Midyawan Yahya.

Menurut Warno, kontraktor perlu menjalankan kerja-kerja pelaksanaan projek dengan bersungguh-sungguh demi amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Beliau tidak mahu kontraktor yang terbabit mengejar keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat.
“Saya harap kontrak akan melaksanakan projek sebaiknya demi kepentingan bersama dan membolehkan masyarakat menikmati pembangunan tersebut. Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga projek berkenaan terjejas,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha membantu kontraktor kelas ‘F’ untuk turut sama menikmati hasil dari kemajuan dan kemakmuran negara sejajar dengan pembangunan demi kepentingan masyarakat.

Ahli Puteri diterap nilai kebajikan - Malaysiakini

Lawatan Puteri UMNO Bahagian Hulu Selangor ke Taman Sinar Harapan membuktikan konsep kebajikan yang cuba diterapkan dalam diri setiap ahli berjaya dilaksanakan.

Ketuanya, Zahana Hamdzah berkata, Program Lawatan Mesra itu sebagai permulaan dalam mewujudkan kesedaran terhadap setiap ahlinya mengenai erti pengorbanan dan tanggungjawab dalam melaksanakan kebajikan kepada masyarakat.
“Program lawatan ini bagi mewujudkan kesedaran dalam diri ahli Puteri sesuai dengan konsep atau matlamat kebajikan yang kita perjuangkan.

“Di samping itu, kita mahu Puteri sedar bahawa masih ramai lagi insan yang memerlukan perhatian dan sumbangan terutama dari golongan muda yang bakal menjadi pemimpin generasi akan datang,” katanya ketika ditemui di Kuala Kubu Bharu.
Seramai 45 ahli Puteri menyertai lawatan itu yang turut disertai Ketua Pemuda UMNO bahagian, Mahmud Karim dan jawatankuasanya.

Mereka turut dibawa melawat ke setiap asrama yang menempatkan orang kurang upaya (OKU) dengan memberikan layanan termasuk pemberian sedikit sumbangan.

Zahana berkata, sebagai sayap parti yang menyumbang kepada penglibatan golongan muda dalam memperjuangkan nasib rakyat, Puteri sentiasa berusaha mengajak golongan itu untuk terlibat dalam setiap program yang dianjurkan.

Katanya, bagi mencapai hasrat itu, Puteri perlu memikirkan konsep yang menjurus kepada penerapan maksud perjuangan sebenar.
“Kita mahu Puteri sedar apa sebenarnya perjuangan yang perlu dilakukan oleh ahli dalam membantu parti.

“Untuk itu, kita cuba membawa mereka mendekati penghuni di Taman Sinar Harapan yang terdiri daripada OKU bagi melihat sendiri keperitan dan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung mereka," katanya.
Beliau berharap melalui lawatan yang diadakan itu menjadikan ahli Puteri sedar akan kedudukan mereka dan apa sebenarnya yang perlu mereka lakukan.

Menurutnya, masih ramai insan dan rakyat yang memerlukan khidmat dan sumbangan Puteri di luar sana.

Justeru katanya, mereka perlu persiapkan diri dengan nilai pengorbanan dan kemanusiaan yang menjadi bekalan kejayaan mereka kelak.