Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, January 20, 2009

Pesonaliti calon tetap berperanan besar dalam apa juga saiz pilihan raya - Malaysiakini

Oleh : Abang Mahmor
Selesailah sudah satu bab politik di Kuala Terengganu di mana PAS berjaya menewaskan BN dengan mejoriti 2,631 undi. Yang nyata, calon bebas Azharudin Mamat @ Adam hilang deposit. Undi rosak 665 undi. Ia memang benar tidak menjejaskan pemerintahan BN di Negeri Terengganu, tetapi ia telah menukar status calon BN yang tewas, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh kena jadi ‘wakil rakyat persendirian’ yang berjanji untuk terus berkhidmat kepada rakyat Kuala Terengganu.

Sebaik sahaja diumumkan BN kalah, maka bertujailah SMS bertanyakan mengapa BN boleh kalah. Hanya seorang sahaja bertanyakan macam mana PAS boleh menang. Walaupun bunyinya lebih kurang sama, tetapi ia agak tricky dan mempunyai maksud reverse input kepada situasi sebenar.

PAS menang bukan kerana PAS lebih baik dari BN. Tetapi approach mereka agak lebih aggresif terutama yang datang membantu. BN agak lain sedikit kerana ia bercampur aduk dengan elemen kempen bertindih. Ada yang ke Kuala Terengganu sambil menyelam sambil minum air.

Ia terjadi hanya kerana kebetulan UMNO sedang menghadapi pemilihan pada bulan Mac nanti. Peluang ini secara tidak langsung telah memberikan kesempatan calon bertanding menunjuk muka sambil menemui perwakilan yang bertembung di satu kawah yang sama.

Mahu tidak mahu, pertindihan ini berlaku. Kita tidak boleh salahkan mereka kerana mana boleh kita larang calon bertemu ‘rakyatnya’ yang sama-sama datang untuk memberikan sokongan kepada calon BN.

Kempen habis jam 12.00 malam. Lepas jam 12.00 sampai ke pagi apa salahnya mereka berlepak dan bercerita pasal pemilihan dalam masing-masing mencari siapa calon paling best untuk dipilih nanti.

Dalam menentukan kemenangan pilihan raya kecil pula, ada yang kata calon tidak penting, tetapi parti lebih penting. Dalam situasi sebenarnya ialah calon itu memainkan peranan paling penting kerana dialah yang akan ditolak ke hadapan bakal mewakili penduduk Kuala Terengganu di parlimen.

Publisiti untuk BN cukup luas di mana yang menerajui pilihan raya kecil itu ialah Timbalan Perdana Menteri dan tentunya di mana saja beliau bercakap akan mendapat tempat di media aliran perdana. BN mendapat liputan cukup meluas. Tetapi ceramah dan risalah juga yang sebenarnya telah menawan hati pengundi.

PAS tidak banyak berjanji tetapi banyak membongkar dan mendedahkan kelemahan BN. Mereka tegur polis terlalu ramai, mereka ‘tangkap’ datuk bandar berkempen untuk BN sedangkan dia adalah pengarah pilihan raya, berwaspada dengan pengundi hantu, bangkitkan kes pembunuhan Altantuya, hentam sikit peribadi calon BN yang dikatakan sombong, bongkak dan erogan, usik sedikit pasal royalti wang ihsan, bayangkan sedikit semasa pengkebumian arwah Datuk Razali Ismail yang orang BN tidak seramai orang PAS dan macam-macam lagi yang remeh-remeh. Tetapi itulah yang diterima oleh rakyat mejoriti pengundi.

Ia seolah-olah apa yang didakwa oleh penceramah yang didatangkan khas dari kalangan PKR dan DAP membawa mesej yang Pakatan Rakyat (PR) adalah lebih baik dari BN dan sudah membuktikan mereka kononnya berjaya di negeri-negeri pemerintahan PR yang telah membuka mata dan membuatkan pendengar menganggukkan kepala.

Mereka juga mengejek tema BN yang baru diperkenalkan MESRA RAKYAT yang sudah terlambat kerana orang PAS lebih dulu mesra daripada BN. BN hanya baru mahu perkenalkan tema Mesra Rakyat itu.

Tambahan pula, pada mata kasar, calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid terlalu dilihat mengekor di mana Datuk Seri Najib Tun Razak pergi. Beliau dikatakan hanya menayang wajah manisnya sentiasa memberi senyuman membawa maksud beliau sudah mesra dengan rakyat.

Dalam ceramah, Wan Farid tidak dilihat sebagai orang yang pandai bercakap jika dibandingkan dengan yang datang menyokong calon PAS. Beliau lebih kepada memohon sokongan, berjanji akan berkhidmat dengan baik dan akan meneruskan perjuangan arwah Razali.

Sesekali beliau akan terlepas kata-kata riak dan terlalu yakin akan menang dan begitu berani menyatakan keyakinannya kepada media yang beliau akan menang. Sedangkan lawannya Mohd. Abdul Wahid tidak perlu kata akan menang kerana beliau sudah dikenali bergaul mesra dengan orang Kuala Terengganu setelah lima penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam.

Yang nyata, lawan Wahid tidak setanding. Wan Farid jauh ketinggalan. Malah sebelum membuat pemilihan, anggota tertinggi UMNO sudah dengar macam-macam mengenai Wan Farid jika dibandingkan dengan calon lain yang disenaraipendekkan. Tetapi mereka tetap mahukan Wan Farid juga, inilah padahnya.

Kalau tidak kerana orang UMNO dari seluruh pelusuk negara datang bantu berceramah dan bertungkus lumus berkempen, ramai betul berpendapat BN akan menghadapi kekalahan yang lebih teruk dari itu.

UMNO atau BN tidak patut pilih orang yang telah mendapat kritikan ramai dari akar umbi. Yang mahu memilih sebenarnya ialah rakyat setempat. Jadi sekiranya UMNO tidak mengambil kira suara ramai, maka inilah yang terjadi walaupun banyak faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan BN kali ini. - KPMU

Usaha Seorang Pemimpin Negara - Malaysiakini

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (dua kiri), beramah mesra dengan Menteri Buruh dan Hal Ehwal Sosial Qatar, Dr Sultan Hasan Al-Dhabit Al-Dusari (dua kanan) yang menyambut ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, hari ini. Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Duta Malaysia ke Qatar, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob (kanan).