Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, January 19, 2009

Konvensyen khas BN bulan depan ditangguhkan? - Malaysiakini

Konvensyen khas Barisan Nasional (BN), antara lima inisiatif Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum bersara Mac ini dipercayai kemungkinan ditangguhkan.

Difahamkan pertemuan khas itu yang pertama seumpama akan diteruskan selepas pemilihan Umno.

Penangguhan itu dipercayai bagi membolehkan proses penjenamaan dilakukan serentak apabila Timbalan Perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara.

Bagaimanapun Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya belum membuat keputusan sama ada meneruskan atau menangguhkan idea konvensyen itu yang sepatutnya berlangsung bulan depan.
"Kita belum buat apa-apa keputusan lagi, tangguh ataupun teruskan seperti yang dirancang kita tak putuskan lagi.

"Tunggulah mesyuarat pengurusan dulu, nanti kita bincang," katanya.
Konvensyen yang diilhamkan Perdana Menteri itu antara lain bertujuan untuk merangka program atau pelan yang terbaik untuk kemajuan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ia juga bagi kerajaan BN memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah negara yang bersatu dan harmoni.

Bagaimanapun jelas Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno, mesyuarat Pengurusan BN itu hanya akan diadakan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang akan diadakan minggu hadapan.
"MT Umno akan mesyuarat dulu minggu depan, lepas tu baru kita buat mesyuarat BN," katanya.

Rakyat Kuala Terengganu tidak akan diabaikan - Malaysiakini

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata tewas kepada PAS pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Sabtu tidak bermakna Umno dan Barisan Nasional (BN) akan mengabaikan penduduk di kawasan itu.
"Bagi BN dan Umno, kita akan terus memberi khidmat kepada rakyat di kawasan itu khususnya kerana kita menganggap keputusan ini bukanlah suatu keputusan yang kerananya kita lupakan kawasan berkenaan," kata pengerusi BN dan presiden Umno itu.
Pada pilihan raya itu, calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.

Perdana Menteri mengulas mengenai keputusan itu sejurus tiba di sini pada Ahad untuk memulakan lawatan rasmi ke Bahrain, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) selama enam hari.

BN menerima keputusan pilihan raya itu dan mengucapkan tahniah kepada calon PAS, kata beliau.

Menurut perdana menteri, Wan Ahmad Farid telah memaklumkan kepada beliau berhubung hasratnya untuk terus memberikan khidmat di kawasan itu.
"Walaupun tidak dipilih untuk menjadi anggota Parlimen, tetapi dia tetap akan berkhidmat dan apa juga bantuan yang diperlukan oleh rakyat, beliau akan berusaha untuk membantu apakah yang menjadi kebimbangan rakyat," kata Abdullah sambil menjelaskan penduduk tempatan boleh terus memanfaatkan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata: "Bila saya dengar berita (tentang kekalahan) itu, memanglah rasa sedih juga. Tapi yang pentingya ialah parti BN dan Umno menerima keputusan pilihan raya berkenaan. Itu adalah kehendak rakyat."

Menurutnya, laporan postmortem akan disiapkan secepat mungkin untuk mengetahui apa yang menjurus kepada kekalahan BN itu.
"Biarlah laporan mengenainya dibuat secepat mungkin supaya kita tahu apa yang sebenarnya berlaku dan dengan itu dapat kita mengambil tindakan segera supaya apa yang menjadi masalah, apa yang tidak disenangi oleh rakyat berkaitan dengan parti kita atau apa-apa sebab lain, dapat diberi perhatian dan diatasi secepat mungkin," kata Abdullah.
Di samping itu, Abdullah mengucapkan terima kasih kepada pengundi kawasan parlimen Kuala Terengganu yang memilih calon BN.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, pekerja daripada Umno Terengganu dan Perhubungan Umno negeri lain serta Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan Umno pusat yang menyumbangkan dalam usaha meraih sokongan bagi calon BN.

Abdullah berkata pilihan raya itu berlangsung dengan baik, teratur dan demokratik selain tidak tercemar dengan apa-apa perkara yang boleh merosakkan perjalanan sesuatu pilihan raya.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana dapat mengawal situasi dan mengelakkan berlaku apa-apa yang tidak diingini," tambah beliau sambil menyampaikan ucapan yang sama kepada pimpinan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) yang baru.