Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, January 18, 2009

Kekalahan bukan faktor calon semata-mata - Malaysiakini

KENANGAN... Gelagat perayu dan penyokong parti yang cuba menarik perhatian pengundi untuk memilih calon mereka yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata kekalahan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu semalam perlu dilihat daripada pelbagai sudut dan bukan faktor calon semata-mata.

Beliau berkata semua pihak dalam Umno dan BN perlu berhenti menuding jari mencari kesalahan pihak lain dan sebaliknya perlu sama-sama memikul tanggungjawab itu seperti perumpamaan “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
“Dalam Umno dan Barisan Nasional, berat mesti dipikul bersama dan ringan mesti dijinjing bersama juga, dalam hal ini banyak faktor menyumbang kepada keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

“Kalau dikatakan ini (faktor calon) adalah faktor yang sebabkan kekalahan BN, saya rasa itu (rumusan) terlalu mudah...kalau memang itulah faktornya, senanglah kerja kita,” katanya di Kuantan, hari ini.
Khairy berkata, beliau melihat perkara itu sebagai satu perkara yang rumit dan memerlukan kajian menyeluruh.
“Kita kena muhasabah diri, kaji semula kempen, pendekatan kita daripada iklim politik tanah air sendiri sampailah kepada isu-isu tempatan, kita boleh gunakan pengalaman ini untuk kebaikan parti.

“Kita kena terima semua pandangan dan selepas ini kita kena baiki diri untuk hadapi pilihan raya akan datang,” katanya.
Terdahulu, Khairy menziarahi dan menyampaikan sumbangan Pemuda Umno kepada Normala Zahari iaitu balu Allahyarham Zahari Baharom, ketua Pemuda Umno cawangan Balok Pine yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada Oktober tahun lalu.

MECD akan melancarkan bazar perdagangan di London - Malaysiakini

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan melancarkan bazar perdagangan di London pada 30 Januari ini dalam usaha memperkenalkan produk usahawan bumiputera di pasaran antarabangsa.

Menteri berkenaan, Datuk Noh Omar berkata, kementerian juga bercadang membuka bazar seumpama itu di Qatar, Norway, Dubai, China dan Mesir secara berperingkat bagi memperkenalkan produk makanan, kecantikan dan kesihatan dengan kaedah pembungkusan dan penjenamaan yang standard.

Calon BN hormati keputusan rakyat - Malaysiakini

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menghormati keputusan pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang memilih Mohd Abdul Wahid Endut daripada Pas sebagai wakil rakyat mereka.

Biarpun 'tersingkir' apabila tidak mendapat undi yang mencukupi untuk mewakili mereka ke Dewan Rakyat, beliau berterima kasih kepada rakyat yang memberikan sokongan kepada BN dalam pilihan raya kecil kerusi itu, katanya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundi Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu kali ini.

“Walaupun tidak cukup untuk memenangi pilihan raya kali ini, namun dalam masa yang sama saya akan berusaha untuk memastikan pengundi yang tidak mengundi BN kali ini akan mengundi BN pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita berhubung kekalahannya dalam pilihan raya kecil itu.
Wan Ahmad Farid yang kelihatan tenang turut mengucapkan terima kasih kepada jentera parti sama ada dari luar mahupun dari dalam yang telah berusaha keras membantu beliau.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Abdul Wahid yang berjaya memenangi pilihan raya itu.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata BN negeri menerima kekalahan itu dengan hati yang terbuka dan akan meneruskan perjuangan untuk memberikan khidmat yang baik kepada rakyat.