Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, January 4, 2009

Hujan bukan halangan penamaan calon Kuala Terengganu - Malaysiakini

mStar | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin keadaan hujan yang melanda negeri-negeri Pantai Timur sekarang tidak akan menjejaskan proses penamaan calon Pilihan Kecil Kuala Terengganu Selasa ini.

Sebaliknya suruhanjaya itu sudah bersedia seratus peratus untuk mengendalikan proses penamaan calon dengan baik dan lancar.

Ketika memberi jaminan itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya tidak menjangkakan urusan penamaan calon akan terjejas ekoran hujan yang lebat sejak dua hari lalu.
"Faktor hujan bukan satu halangan pada hari penamaan calon dan kita ada kira-kira dua minggu untuk hari pengundian, jadi masa masih panjang lagi," kata beliau.
Bagaimanapun beliau menambah, SPR sedang mengikuti dengan rapi perkembangan keadaan cuaca menjelang hari pengundian 17 Januari ini.

Jika ada pertandingan pengundian akan diadakan pada 17 Januari ini.

Dalam pada itu Timbalan Setiausaha (Operasi) SPR, Datuk Noordin Che Ngah berkata pihaknya telah mengambil kira faktor hujan ketika menentukan hari penamaan calon dan pengundian pada mesyuarat bulan lalu.
"Hujan tiada masalah, kita sudah mengambil kira semua benda ini," kata beliau.
Tambah Noordin pihaknya juga berhubung dengan Jabatan Meteorologi untuk melihat perkembangan semasa mengenai keadaan hujan.

Terdahulu beliau mengadakan taklimat kepada media tetnatg perjalanan pilihan raya kecil ini.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama daerah Kemaman dan Setiu kembali dilanda banjir apabila beberapa buah kampung di kedua-dua daerah berkenaan dinaiki air malam tadi menyebabkan seramai 471 orang terpaksa dipindahkan sehinggga pukul 9 pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Kontinjen Polis Negeri Terengganu berkata Setakat ini seramai 248 orang dipindahkan di Kemaman dan 223 orang dipindahkan di Setiu.

Di Kemaman, tiga pusat pemindahan telah dibuka setakat ini iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, Sekolah Rendah Kebangsaan Air Putih dan Masjid Kampung Baru 16.

Terdapat juga di kalangan mangsa berkenaan berpindah ke rumah saudara mara mereka, katanya.

Manakala di Setiu pula, tiga pusat pemindahan telah dibuka iaitu di Masjid Permaisuri, Surau Gazibo Permaisuri dan Balairaya Kampung Tasik.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPs) Negeri melaporkan keseluruhan paras air sungai utama di Terengganu telah meningkat pada pukul 9 pagi ini.

Katanya paras air di Sungai Nerus di Kampung Bukit mencapai paras bahaya iaitu 12.96 meter, kira-kira 0.96 meter melebihi paras amaran.

Beberapa batang sungai yang lain pula berada dalam keadaan amaran iaitu Sungai Dungun di Pasir Raja mancatatkan 36.94 meter (amaran 36.5 meter), Jambatan Jerangau 12.16 meter (amaran 11.7 meter), Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih setinggi 14.74 meter (amaran 14 meter) dan Jambatan Bangho 18.01 meter (amaran 18 meter).

Jurucakap itu berkata Sungai Besut, Sungai Terengganu dan Sungai Setiu, masing-masing berada pada tahap waspada.