Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, June 21, 2009

Noh : Menu ikan air tawar wajib di asrama kerajaan - Malaysiakini

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar, berkata menu makanan di asrama di institusi latihan, pengajian dan sekolah serta organisasi milik kerajaan akan diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya satu menu hidangan ikan air tawar sekali dalam masa seminggu.
"Perkara ini dilaksanakan secara berperingkat dan syarat ini akan dikuatkuasakan dalam tender pembekalan baru bekalan makanan basah selepas tender yang sedia ada tamat tempoh," katanya.
Belia berkata demikian selepas melancarkan Promosi Ikan Air Tawar di Pasar Tani Peringkat Kebangsaan anjuran Lembaga Pemsaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, langkah ini telah diluluskan Kabinet dalam mesyuarat Rabu lalu dan diharap ia akan meningkatkan keberkesanan kempen menggalakkan pemakanan dan memperluas pasaran ikan air tawar di dalam negara.

Katanya, langkah itu juga diharap dapat memberi peluang kepada generasi muda untuk menikmati ikan air tawar supaya mereka tidak merasa janggal untuk menjamah ikan yang menjadi sumber protein nenek moyang mereka.
"Langkah ini juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan laut yang diimport.

"Malaysia mengimport 350,000 tan ikan dan produk ikan setahun terutamanya dari negara jiran yang kurang kesegarannya berbanding dengan ikan air tawar yang dihasilkan negara," katanya.
Noh berkata, kerajaan telah mengambil langkah menggalakkan industri akuakultur dengan memperuntuk RM358 juta bagi penyediaan infrastruktur dan sokongan teknikal bagi menarik minat pihak swasta menyertai sektor ini.

Bagaimanapun, Noh berkata beliau kecewa apabila pasaran ikan air tawar seperti keli dan patin di dalam negara meningkat dengan pulangan yang baik dan menarik minat rakyat untuk menyertai industri ini, ada pula pihak yang tidak bertanggungjawab dipercayai telah mensabotaj perkembangan ini.
"Ini mengakibatkan harga pasaran keli dan patin di negara ini merudum selepas media melaporkan ada di antara pengusaha yang tidak bertanggungjawab memberi makan benda yang terlarang dan menjijikkan kepada ikan-ikan itu mengakibatkan sesetengah pihak kini tidak berselera untuk membeli apatah lagi memakan ikan keli dan patin," katanya.
Noh berharap perkara itu dapat diatasi apabila Akta Bekalan Makanan Haiwan yang sedang dibentangkan oleh Kementeriannya di Parlimen pada sidang kali ini diluluskan.
"Apabila akta ini diluluskan kementerian akan membuat peraturan supaya bekalan makanan ikan ini mestilah daripada bahan yang suci dan halal supaya pengguna tidak merasa was-was untuk memakannya," katanya.

No comments: