Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, March 8, 2009

PM mahu keputusan dibuat segera elak masalah besar - Malaysiakini

Perdana menteri meminta isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diselesaikan segera kerana bimbang bantahan orang ramai makin meluas pada masa depan.
"Saya harap keputusan ini akan dibuat segera. Kalau tidak nanti tekanan-tekanan dan tindakan-tindakan NGO akan berterusan dan akan menjadi isu yang lebih besar," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.
Beliau berkata kerajaan mengakui adanya desakan yang kuat daripada rakyat khusunya orang Melayu yang sedang memberi perhatian terhadap perkara terbabit.

Abdullah mengulas demonstrasi besar anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) ke Istana Negara petang semalam selepas melancarkan novel Dragon Fire Hammer karya penulis berusia 14 tahun, Adam Umemoto di Petaling Jaya.Beliau berkata Kementerian Pelajaran telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan NGO bagi membincangkan perkara berkaitan PPSMI.

Bagaimanapun, tambahnya, kementerian berkenaan buat masa ini belum bersedia untuk mengumumkan bentuk keputusan yang telah diambil itu.
"Dengan adanya keputusan-keputusan peperiksaan yang boleh memberi asas kepada kementerian untuk membuat keputusan, maka saya percaya keputusan itu perlu menjadi keputusan yang baik bagi mengukuhkan kepentingan rakyat dan masa depan kita," perdana menteri dipetik berkata.
Pelaksanaan dasar kontroversi itu sejak 2003 mencetuskan perdebatan hangat dan kebelakangan ini ia melimpah dalam bentuk bantahan serius, termasuk penggiat sastera Melayu dengan laporan polis, ugutan saman dan demonstrasi besar.

Kira-kira 8,000 orang yang berarak membantah PPSMI dari Masjid Negara bagi menyerah memorandum kepada pihak Yang di-Pertuan Agong dihujani puluhan das gas pemedih mata sekitar Kampung Attap.

No comments: