Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, March 25, 2009

Pengundian ketiga-tiga sayap Umno selesai - Malaysiakini

Petugas sedang membawa kotak mengundi. Proses pengundian sedang bermula bagi memilih barisan kepimpinan baru Umno.
KUALA LUMPUR : Perwakilan ketiga-tiga sayap Umno telah selesai mengundi untuk memilih barisan kepimpinan baru mereka.

Proses pengundian bermula selepas ucapan dasar ketua ketiga-tiga pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri.

Pergerakan Wanita Umno selesai mengundi pada pukul 1.35 petang, selepas satu jam setengah proses pengundian berlangsung.

Proses pengiraan undi akan bermula pada bila-bila masa.

Kali ini pertandingan melibatkan kesemua jawatan utama ketiga-tiga sayap.

Jawatan-jawatan itu ialah Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua, Naib Ketua dan juga Exco.

Bagi sayap Pemuda, persaingan bagi merebut jawatan Ketua melibatkan tiga penjuru antara Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, bagi Naib Ketua menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Datuk Razali Ibrahim dan Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Seramai 64 calon akan bersaing bagi merebut 20 jawatan Exco.

Bagi sayap Wanita, tumpuan hari ini pastinya tertumpu kepada persaingan bagi merebut jawatan Ketua Wanita iaitu antara penyandang jawatan, Tan Sri Rafidah Aziz dan naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Jawatan Naib Ketua pula dimenangi tanpa bertanding oleh Datuk Kamilia Ibrahim berikutan keputusan Shahrizat untuk bersaing bagi jawatan nombor satu dalam sayap itu.

Sementara itu, seramai 47 calon akan bertanding bagi 20 jawatan Exco Wanita Umno.

Bagi sayap Puteri, seramai enam calon akan bersaing bagi merebut jawatan Ketua.

Mereka adalah Datuk Shahaniza Shamsuddin, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datin Ismalina Ismail, Bibi Sharliza Mohd Khalid, Ida Rahayu Md Noor dan Saarah Ali Bashah.

Jawatan Naib Ketua Puteri pula menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Shahanim Mohamad Yusoff, Nordiana Shafie dan Haslinda Mohd Zerain.

Seramai 52 calon akan bertanding merebut 20 jawatan Exco Puteri.

Jumlah keseluruhan perwakilan yang akan mengundi adalah 760 daripada 191 bahagian.

Keputusan pengundian dijangka diketahui menjelang pukul 9 malam. - mStar

No comments: